Insentif bercuti dalam negara pacu pelancongan Melaka

Insentif bercuti dalam negara pacu pelancongan Melaka

AB. Rauf Yusoh (kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi libat urus Belanjawan 2026 di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi rakyat yang melancong dalam negara melalui Belanjawan 2026, membantu menyuntik semangat sektor pelancongan domestik.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, langkah itu juga bakal membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.

“Sebagai negeri pelancongan yang terkenal dengan keunikan sejarah dan budaya, inisiatif ini dijangka menggandakan kedatangan pelancong sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ab. Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan Persekutuan kerana meluluskan dan memperuntukkan dana bagi pelaksanaan projek-projek yang tersenarai dalam ‘wishlist’ pembangunan negeri.

Beliau berkata, antara projek tersebut ialah jalan baharu dari Jalan Masjid Tanah Kuala Linggi ke Telok Gong dan naik taraf jalan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah.

Beliau berkata, kelulusan itu turut membabitkan pembinaan semula bangunan daif serta bangunan tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, pembinaan semula bangunan baharu dan naik taraf bangunan asrama di SMK Tinggi Perempuan Melaka serta menaik taraf Muzium Samudera.

“Projek lain yang diluluskan adalah penggantian paip usang sepanjang lebih 820 kilometer (km) yang turut melibatkan Melaka. Selain itu, peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan sebanyak RM2.5 bilion dan pemberian MARRIS sebanyak RM5.6 bilion dapat dimanfaatkan untuk menambah baik jaringan jalan raya.

“Kebenaran Kerajaan Persekutuan agar peruntukan MARRIS digunakan bagi kerja-kerja pembesaran longkang dan parit di jalan negeri boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko banjir,” katanya.

Ab. Rauf memaklumkan, kerajaan negeri akan mengambil kira secara inklusif intipati Belanjawan 2026 bagi penyediaan Bajet 2026 Negeri Melaka yang dijangka dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×