PETALING JAYA: Transaksi wang berjumlah lebih RM486.4 juta (AS$115 juta) yang disimpan dalam tiga akaun bank di Switzerland atas nama Putera Turki Abdullah Abdulaziz Al-Saud yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya dihalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor di sini semalam di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Permohonan itu difailkan pada 7 Oktober selepas menerima maklumat bahawa sejumlah besar wang berkenaan dipercayai hasil daripada penyelewengan dana 1MDB yang disalurkan melalui akaun-akaun luar negara.
“Maklumat diterima pada 2011 mendapati Putera Turki Abdullah Abdulaziz Al-Saud telah menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui akaun-akaun perbankan miliknya,” katanya.
Melalui perintah berkenaan, SPRM berjaya menghalang transaksi melibatkan AS$87,148,732.89 dan AS$12,777,759.74 dalam dua akaun di J.P. Morgan, serta AS$15,394,169 dalam akaun di UBS Switzerland. – UTUSAN










