MANILA: Filipina sekali lagi berdepan gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud yang melanda perairan selatan, meragut sekurang-kurangnya dua nyawa serta merosakkan hospital dan beberapa sekolah.
Gegaran yang berlaku pada Jumaat turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan mencetuskan amaran tsunami yang menyebabkan penduduk di kawasan pantai berdekatan berpindah ke tempat selamat.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) pada awalnya memberi amaran gempa bumi itu berpotensi mencetuskan ombak setinggi satu hingga tiga meteri di sepanjang pantai Filipinan, termasuk di beberapa kawasan Indonesia dan Palau.
Bagaimanapun, ia mengesahkan ancaman itu berakhir tidak lama kemudian.
Menurut agensi itu, gelombang kecil dikesan di beberapa kawasan pantai di Indonesia dan Filipina.
Pusat tsunami di Honolulu, Hawaii memaklumkan ancaman tsunami berakhir kira-kira dua jam selepas gempa bumi melanda, namun turun naik paras laut dijangka berterusan.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. berkata, pihak berkuasa kini menilai keadaan di lapangan bagi memastikan keselamatan semua penduduk.
“Saya mengarahkan Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, Pejabat Pertahanan Awam, Angkatan Tentera, Pengawal Pantai Filipina dan semua agensi berkaitan untuk segera melaksanakan pemindahan di kawasan pantai, mengaktifkan talian komunikasi kecemasan serta berkoordinasi dengan kerajaan tempatan,” kata Marcos.
Menurut Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 23 kilometer (km) pada pukul 9.43 pagi waktu tempatan.
Wilayah utara Sulawesi dan Papua di Indonesia juga mengeluarkan amaran tsunami dengan jangkaan ombak setinggi 50 sentimeter boleh melanda kawasan pantai, menurut laporan Reuters.
Gempa terbaharu di Filipina berlaku 11 hari selepas gegaran 6.9 magnitud mengguncang Cebu yang mengorbankan 74 nyawa serta menyebabkan lebih 72,000 rumah sama ada rosak atau musnah.- AL JAZEERA










