PETALING JAYA: Keseluruhan penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan sejak tahun lalu akan menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, peruntukan kos sara hidup dan pelaburan prasarana yang berkualiti kepada rakyat.
Katanya, semua pimpinan kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi, namun ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu.
Perdana Menteri berkata, memaknai subsidi ialah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing atau syarikat besar, justeru kerajaan melaksanakan subsidi bersasar supaya dana awam sampai kepada rakyat.
“Pengapungan harga ayam jimat RM1 bilion dan harga ayam terkawal. Pengapungan harga telur menjimatkan RM1 billion. Penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik purata jimat RM6 bilion. Malah, 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif dan ada yang menikmati penurunan bil.
“Penyasaran subsidi diesel jimat RM5 bilion malah, sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi. RM200 sebulan diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, penyasaran subsidi RON95 pula berpotensi menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, malah rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
“Urusan BUDI95 berjalan lancar dengan lebih 10 juta rakyat menikmati RON95 pada RM1.99 seliter. Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23 ribu pemilik perahu berdaftar dan lebih 52 ribu pemandu e-hailing aktif,” katanya. – UTUSAN










