Universiti landasan jati diri mahasiswa

Universiti landasan jati diri mahasiswa

UNIVERSITI bukan sekadar ruang akademik tetapi wadah melahirkan pemimpin muda yang mampu mengharumkan nama negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI merupakan medan penting dalam membentuk jati diri mahasiswa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. Ia bukan sahaja tempat menimba ilmu, malah ruang untuk menggilap bakat, memperkukuh kepimpinan dan membina sahsiah.

Kejayaan tidak datang dengan mudah sebaliknya menuntut disiplin, pengorbanan dan kesungguhan. Ingatlah wajah ibu bapa yang menaruh harapan besar dan jadikan ia pendorong hingga ke garisan penamat.

Contoh terbaik ialah kisah anak Jitra, Muhammad Saniy Samsudin, lulusan Universiti Utara Malaysia (UUM). Berasal dari sekolah harian biasa, membuktikan latar belakang bukan halangan. Muhammad Saniy cemerlang dalam akademik hingga menerima Pingat Emas Naib Canselor sebagai graduan kelas pertama dalam bidang Kewangan.

Kepimpinannya terserlah apabila dilantik sebagai Presiden Inapan Siswa, diiktiraf sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan dan menerima Anugerah MAPUM. Lebih membanggakan, Muhammad Saniy terpilih ke program YSEALI Academic Fellowship di University of Texas, Amerika Syarikat (AS). Kini, Muhammad Saniy meneruskan pengajian Sarjana di University of Warwick, United Kingdom (UK) dengan biasiswa Yayasan Khazanah.

Kejayaan ini membuktikan universiti bukan sekadar ruang akademik tetapi wadah melahirkan pemimpin muda yang mampu mengharumkan nama negara.

Namun, mahasiswa masa kini berdepan cabaran kompleks. Dunia digital membuka ruang pembelajaran luas tetapi jika tidak dikawal boleh mengganggu fokus. Media sosial sering menjerat pelajar dalam budaya segera, sedangkan kejayaan menuntut usaha berterusan.

Pasaran kerja yang kompetitif juga menilai graduan bukan pada ijazah semata-mata tetapi pada kemahiran insaniah, komunikasi, kepimpinan dan pengalaman berorganisasi. Justeru, universiti menyediakan pelbagai platform kokurikulum dan antarabangsa bagi membina keupayaan tersebut.

Mahasiswa turut berdepan cabaran sahsiah. Dalam arus globalisasi, mereka perlu mempertahankan nilai dan jati diri agar tidak hanyut dengan budaya melemahkan.

Kisah Muhammad Saniy membuktikan universiti adalah tempat mencabar diri, membina jaringan dan menonjolkan kepimpinan. Universiti melahirkan graduan berilmu tetapi lebih utama ialah pemimpin berwibawa yang bersedia menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Universiti bukan destinasi akhir tetapi titik mula masa hadapan. Dengan disiplin, fokus dan keikhlasan, setiap mahasiswa mampu mencipta kejayaan tersendiri.-UTUSAN

NOOR AZMAN YUSOF
Bekas Pengarah Hal Ehwal Pelajar
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×