Membaca asas perpaduan, kemajuan negara

Membaca asas perpaduan, kemajuan negara

AMALAN membaca melahirkan bangsa berilmu dan itulah asas kemajuan sesebuah negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA membaca merupakan amalan murni yang sewajarnya dijadikan amalan setiap masa.

Ciri-ciri negara maju ialah apabila rakyatnya kuat membaca dan kadar literasi yang tinggi.

Dalam ajaran Islam, surah yang pertama diturunkan ialah Surah al-‘Alaq yang kalimah pertamanya ialah “Bacalah! oleh-Mu (Wahai Muhammad)”. Ia sekali gus menggambarkan ajaran Islam berpaksikan ilmu dan menggalakkan pembacaan.

Hakikat ini diakui sendiri hatta oleh para orientalis Barat seperti Franz Rosenthal dalam bukunya, Knowledge Triumphant.

Untuk menggalakan budaya membaca, sesetengah negara melancarkan bulan membaca bagi masyarakat mereka. Negara kita pernah melancarkan kempen Gerakan Membaca melalui pelancaran Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap bulan Ogos setiap tahun bermula 1995, dan kemudiannya bertukar ke setiap bulan Julai bermula 2001.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilaporkan mengadakan lebih 102,813 program galakan membaca sepanjang 2024.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyebut Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pernah dibuat oleh pihak PNM dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan sebagai asas pengukuran negara maju.

Mengikut standard Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO), kadar literasi antara 95 hingga 100 peratus penting bagi sesebuah negara kerana antara lain ia mencerminkan negara tersebut sudah berjaya keluar daripada kategori masalah literasi besar yang biasa dihadapi negara membangun dan sudah hampir memenuhi status negara maju, walaupun literasi bukanlah satu-satu kriterianya.

Melalui kajian tersebut didapati, rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskah pada 2005, 15 naskah pada 2014 dan terkini adalah 24 naskah pada 2023.

Kadar minat membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 peratus. Jumlah naskah pembacaan dalam tempoh setahun pembacaan sebanyak 24 naskah merangkumi 16 naskah bahan bercetak dan lapan naskah bahan digital.

Saya sependapat dengan Aaron yang berpandangan amalan membaca mempunyai kaitan yang erat dengan perpaduan di Malaysia antaranya meningkatkan pemahaman tentang budaya yang berbeza.

Dengan membaca, masyarakat dapat memahami latar belakang budaya, tradisi dan sejarah pelbagai kaum di Malaysia.

Ada laporan yang menyebut rakyat Malaysia berada di kedudukan antara yang berbelanja terbesar untuk buku, namun bukan masyarakat yang teratas dalam budaya membaca.

Saya dimaklumkan oleh sahabat yang lama belajar di Jepun, ada perkataan Jepun, tsundoku yang berasal sebagai istilah slanga untuk mentakrifkan tabiat atau minat membeli buku. Ini berdasarkan perasaan ingin tahu yang mendalam untuk mengetahui ilmu tersebut, namun lama-kelamaan membiarkannya bertimbun tanpa membacanya sehingga menjadi koleksi.

BAHAN BERKUALITI

Ada juga golongan yang dikatakan sudah merasakan dirinya cukup ilmuwan ataupun mahu dipandang berilmu oleh tetamu yang bertandang ke rumahnya apabila memiliki koleksi buku yang banyak, walaupun tidak membacanya.

Kita tidak mahu masyarakat sekadar membeli buku untuk hiasan tetapi tidak membacanya.

Justeru, memupuk budaya membaca itu amat penting sekali. Namun, budaya membaca semata itu tidak memadai tetapi perlu disusuli dengan pemilihan bahan-bahan pembacaan yang berkualiti, yang dapat membangun minda dan menambah kefahaman yang benar.

Kalau sekadar membaca majalah hiburan, bahan-bahan popular dan santai atau media sosial, walaupun dari satu segi ia lebih baik daripada membuang masa dan melakukan perkara sia-sia tetapi sewajarnya masa digunakan untuk membaca bahan yang lebih berkualiti.

Dalam hal ini, saya ingin mengambil kesempatan memperkenalkan Koleksi Tamadun Islam Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Langgak Tunku off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Di sana memiliki sejumlah koleksi bahan akademik yang berwibawa dan terkenal dalam kalangan para ahli akademik dan tokoh bidang kajian Islam.

IKIM memiliki koleksi khas Tamadun Islam (KTI) dengan sebanyak 8,064 naskhah terdiri daripada koleksi buku dan jurnal pengumpul ilmuwan dari benua Eropah, bukan sahaja dalam bahasa Inggeris tetapi Russia, Perancis, Hebrew, Arab, Jerman, Belanda, Latin, Turkiye, Itali, Sepanyol dan sebagainya. Semuanya menjangkau lebih kurang 20 bahasa.

PTAS sememangnya mampu memberi manfaat yang besar kepada pengunjung serta cendekiawan.

Yang menariknya, PTAS ini bukan sahaja terbuka untuk kegunaan warga IKIM tetapi kepada masyarakat awam khususnya dalam kalangan sarjana dan penyelidik.

Sehubungan dengan itu, kepada yang berminat untuk mendapatkan bahan pembacaan berkualiti, bolehlah datang ke PTAS IKIM untuk maklumat lanjut.-UTUSAN

 

DR. Nik Roskiman Abdul Samad ialah Felo Utama dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×