DAHULU, kecerdasan buatan (AI) sering dianggap ancaman yang bakal menggantikan manusia, namun kini ia digambarkan sebagai rakan strategik yang mampu memperkasa keupayaan. Persoalannya, apakah teknologi ini benar-benar memperkukuh kreativiti manusia atau sebaliknya semakin menggadaikannya?
Dalam pembangunan sistem dan aplikasi, platform seperti ChatGPT digunakan oleh pembangun untuk menjana kod, membina antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dan mencari penyelesaian teknikal dalam masa singkat.
Bidang rekabentuk, animasi dan poster juga berubah dengan kehadiran Gemini dan Canva AI yang menjadikan proses rekaan lebih mudah dan cepat, membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan hasil yang menarik.
Dalam muzik, teknologi seperti Suno AI membolehkan lirik, melodi dan susunan muzik dicipta secara automatik. Proses yang dahulunya memerlukan pengalaman dan bakat kini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan bantuan arahan ringkas.
Hakikatnya, AI memang cemerlang dalam tugas berulang, analitikal dan berasaskan data.
Manusia pula memiliki kelebihan dalam pemikiran kritis, empati, emosi dan pertimbangan etika.
Integrasi antara kedua-duanya berpotensi menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Namun, jika terlalu bergantung kepada mesin, manusia mungkin kehilangan sentuhan kreatif dan peranan uniknya sebagai pencipta idea.
Kita tidak menafikan manfaat besar AI dalam meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa dan membuka peluang baharu. Tetapi cabaran masa hadapan bukan hanya tentang menggunakan AI dengan cekap. Ia juga tentang memastikan manusia tidak kehilangan daya cipta yang menjadikan kita berbeza daripada teknologi yang dihasilkan sendiri.
Akhirnya, AI bukan sekadar soal automasi atau kemudahan. Ia adalah cermin yang memaksa kita merenung lebih jauh sama ada adakah teknologi ini benar-benar rakan strategik yang membebaskan manusia untuk berfikir lebih tinggi atau pencuri halus yang perlahan-lahan menghakis kreativiti kita?-UTUSAN
ABDUL MUEIZ ROSLI
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)










