WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijadualkan menjalani pemeriksaan pada Jumaat, susulan spekulasi mengenai tahap kesihatannya berikutan lebam dan bengkak yang ketara sejak beberapa bulan lalu.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Trump akan melawat Pusat Perubatan Walter Reed bagi menghadiri pertemuan dan menyampaikan ucapan kepada anggota tentera sebelum menjalani pemeriksaan tahunan rutinnya.
“Presiden Trump juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan lawatan ke Asia Barat selepas itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rumah Putih menggambarkan lawatan itu sebagai pemeriksaan fizikal tahun biasa, namun Trump yang kini berusia 79 tahun sebenarnya telah menjalani pemeriksaan tahun kira-kira enam bulan lalu pada 11 April.
Sejak itu, Trump dilihat mengalami bengkak pada pergelangan kaki dan kesan lebam berterusan di tangan kanannya.
Julai lalu, Rumah Putih memaklumkan Trump didiagnosis menghidap kekurangan vena yang kronik, namun pasukan perubatan mendapati beliau berada dalam keadaan sihat secara keseluruhan.
Doktor Trump menjelaskan, bengkak pada pergelangan kaki beliau berpunca daripada penyakit vena, iaitu keadaan apabila injap dalam saluran darah yang rosak gagal menyalurkan darah dengan sempurna dari kaki ke jantung.
Leavitt sebelum ini menyifatkan penyakit itu sebagai keadaan biasa, terutama dalam kalangan individu berusia lebih 70 tahun.
Memo susulan daripada doktor Rumah Putih, Sean Barbabella, berkata pemeriksaan mendapati tiada bukti trombosis vena dalam (DVT) atau penyakit arteri, serta tiada tanda kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang atau penyakit sistemik dikesan.
Rumah Putih juga berkata, lebam pada tangan Trump yang ketara sejak beberapa bulan lalu hanya kerengsaan tisu lembut kecil akibat terlalu kerap berjabat tangan dan kesan sampingan daripada terapi aspirin yang diambil beliau sebagai langkah pencegahan kardiovaskular.
Trump, yang mengangkat sumpah jawatan pada Januari lalu, merupakan presiden tertua pernah dilantik dalam sejarah AS.- BLOOMBERG











