Belanjawan 2026 transisi memperkasa PMKS

Belanjawan 2026 transisi memperkasa PMKS

KERAJAAN perlu mengubah pendekatan daripada sekadar membantu kepada membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tunggak ekonomi baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTANGAN Belanjawan 2026 di Parlimen, esok diharap menjadi wadah penting bagi kerajaan memberi tumpuan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Sektor ini bukan sekadar penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga nadi kepada ekosistem ekonomi dan guna tenaga negara.

Oleh itu, langkah memperkasa PMKS perlu dirangka bukan lagi sebagai bantuan tahunan tetapi sebagai strategi pembangunan jangka panjang yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.

PMKS kini berdepan cabaran besar, termasuk kesukaran mendapatkan pembiayaan, akses terhad kepada teknologi moden, kekurangan kemahiran digital dan kesukaran menembusi pasaran eksport.

Selain itu, ramai pemain PMKS sukar menempatkan diri dalam rantaian bekalan syarikat besar, sama ada milik kerajaan mahupun swasta. Dalam suasana global yang sarat ketidaktentuan geopolitik, gangguan logistik, kenaikan kos bahan mentah serta peningkatan dasar perlindungan (proteksionisme), tekanan terhadap kemampuan PMKS untuk kekal relevan semakin meningkat.

Maka, Belanjawan 2026 perlu menjadi pelantar bagi mengarusperdanakan pembangunan PMKS secara inklusif dan berterusan. Ia bukan sekadar menyediakan dana tetapi merangka agenda transformasi nasional bagi melonjakkan kapasiti, inovasi dan daya saing sektor ini.

Antara langkah utama termasuk pembangunan sumber manusia, galakan digitalisasi, kemudahan pembiayaan bersasar serta insentif untuk peningkatan eksport dan produktiviti.

Lebih penting, kerajaan perlu mengubah pendekatan daripada sekadar ‘membantu PMKS’ kepada ‘membangunkan PMKS’ sebagai tunggak ekonomi baharu. Dalam konteks ini, penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat awam berhad (PLC) perlu diberi dimensi baharu yang lebih strategik dan terarah.

Kedua-dua entiti ini memiliki sumber, kepakaran serta jaringan pasaran global yang mampu membuka ruang lebih luas kepada PMKS untuk berkembang.

Sudah tiba masanya peranan GLC dan PLC dalam memperkasa PMKS tidak lagi bersifat sukarela atau simbolik. Ia perlu dijadikan tanggungjawab nasional yang dirangka melalui dasar khusus termasuk peruntukan untuk program pembangunan vendor, kerjasama strategik dengan pemain PMKS serta pelaporan tahunan impak sosial. Dengan cara ini, sinergi antara sektor korporat dan PMKS dapat diwujudkan secara nyata dan berkesan.

Apabila GLC dan PLC digembleng sepenuhnya, manfaatnya bersifat dua hala. PMKS memperoleh akses kepada pasaran, latihan, teknologi serta modal, manakala GLC dan PLC pula membina rantaian bekalan tempatan yang lebih efisien, mengurangkan kebergantungan kepada import dan meningkatkan reputasi mereka dalam konteks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Kolaborasi ini mewujudkan ekosistem ekonomi yang seimbang, mapan dan menguntungkan semua pihak.

Namun, jika entiti besar ini tidak memainkan peranan strategik, risiko terhadap ekonomi negara amat besar. Jurang antara syarikat besar dan kecil akan terus melebar, rantaian bekalan tempatan melemah dan PMKS kekal terpinggir, sekali gus menjejaskan aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serta berdaya saing global.

Bagi menyelesaikan isu ini secara sistematik, kerajaan disaran menubuhkan platform pemikir nasional yang menyatukan kepakaran GLC dan PLC dalam memperkasa PMKS. Platform ini berfungsi sebagai pusat penyaluran idea dasar, penilaian impak dan perancangan strategik, dengan GLC dan PLC bukan sekadar pelaksana tetapi turut menjadi pencorak dasar berdasarkan data dan realiti pasaran.

Gabungan ini juga boleh bekerjasama dengan agensi keusahawanan bagi menyelaras latihan, pembiayaan serta bimbingan termasuk pematuhan syariah.

Langkah ini akan memperkukuh konsep kerjasama awam-swasta (PPP) secara menyeluruh. Ahli platform tersebut boleh terdiri daripada wakil kerajaan, korporat, akademik, pemimpin industri PMKS, penyelidik bebas dan pelabur institusi seperti Permodalan Nasional Berhad Rasmi (PNB) serta Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kolaborasi ini penting bagi memastikan strategi pembangunan PMKS lebih inklusif, menyeluruh dan berpaksikan kepentingan jangka panjang negara.

IKTIBAR

Dalam mendukung transisi ini, beberapa insentif tambahan wajar diberi pertimbangan dalam Belanjawan 2026, antaranya potongan cukai kepada syarikat yang membangunkan vendor PMKS sebagai sebahagian komitmen ESG; dana transformasi digital bersasar untuk sektor keutamaan seperti makanan, pertanian pintar, perkilangan dan teknologi hijau; serta geran padanan inovasi antara syarikat besar dan PMKS tempatan.

Kerajaan juga boleh melancarkan kempen nasional ‘Beli Produk PMKS’ bagi memperkukuh jenama tempatan dan menggalakkan sokongan pengguna.

Banyak negara membuktikan pemerkasaan PKS adalah pemangkin utama pertumbuhan ekonomi.

Di Amerika Syarikat (AS), syarikat besar aktif membantu perusahaan kecil melalui program pemula, latihan digital, platform e-dagang dan bimbingan percuma.

Di China, GLC menyediakan pembiayaan mikro menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada lebih 29 juta PMKS melalui inisiatif Made in China 2025.

Jepun pula menonjol dengan model Keiretsu, yang mana vendor kecil menjadi sebahagian rantaian pembekalan industri automotif menerusi pemindahan teknologi dan jaminan pembelian jangka panjang. Model ini menjadikan ekosistem PMKS Jepun antara paling kukuh di dunia.

Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kejayaan tersebut. PMKS tempatan tidak boleh hanya bergantung pada geran atau subsidi tetapi perlu disokong oleh ekosistem berstruktur yang menggabungkan kekuatan kerajaan, GLC, PLC dan komuniti usahawan.

Belanjawan 2026 harus menjadi titik perubahan dasar, dari pendekatan bantuan ke arah pembangunan mampan dan berimpak tinggi.

Tambahan pula, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan digitalisasi dan AI sebagai pemangkin utama ekonomi baharu. Dalam konteks ini, PMKS mesti menguasai teknologi digital agar kekal kompetitif.

Penggunaan AI membolehkan mereka mengautomasikan operasi, menjimatkan kos, memahami tingkah laku pelanggan melalui analisis data dan membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat.

Pengalaman di India, Brazil dan Kenya membuktikan penguasaan teknologi mampu melonjakkan produktiviti serta keuntungan PMKS.

Di India, 66 peratus pemilik PMKS mencatat peningkatan keuntungan selepas melabur dalam AI. Di Kenya pula, aplikasi pintar seperti Auni membantu usahawan kecil membuat keputusan kewangan secara masa nyata berdasarkan data sebenar.

Dengan strategi inklusif, kolaborasi kukuh antara sektor awam dan swasta serta pemanfaatan teknologi digital, Malaysia mampu melahirkan ekosistem PMKS berdaya tahan, inovatif selain menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dalam era global yang semakin mencabar.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×