ISU kamera tangkap laju di lebuh raya sering menimbulkan perdebatan. Tujuan asal pemasangan adalah mendidik pemandu agar mematuhi had kelajuan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.
Namun, dalam situasi tertentu, kamera ini dikatakan menyumbang nahas apabila pemandu bertindak mengejut, seperti membrek secara mendadak sebaik menyedari kehadirannya.
Bagi sebahagian pengguna jalan raya, kamera berfungsi sebagai pencegah. Menyedari ada kamera di hadapan, pemandu akan memperlahankan kenderaan. Malangnya, tindakan mengejut tanpa isyarat jelas boleh mengundang bahaya, khususnya di lebuh raya yang dipenuhi lori dan bas kerana jarak membrek kenderaan berat lebih panjang.
Lebih membimbangkan, ada kamera yang diletakkan selepas selekoh tajam atau menuruni bukit. Situasi sebegini boleh menyebabkan pelanggaran dari belakang, apatah lagi jika jalan licin akibat hujan.
Selain itu, ada pemandu yang panik kerana tidak pasti had kelajuan di kawasan tersebut. Mereka menekan brek dengan kuat atau menukar lorong secara mengejut, lalu meningkatkan risiko pelanggaran.
Ini menjadi sebab berlaku kemalangan jika pemandu tidak tenang dan berdisiplin.
Namun, tidak adil menyalahkan kamera sepenuhnya. Faktor utama tetap terletak pada sikap pemandu. Ramai hanya mematuhi kelajuan di kawasan kamera tetapi kembali memecut selepas itu. Ini menunjukkan mereka lebih takut pada saman daripada benar-benar prihatin soal keselamatan.
Bagi memastikan kamera benar-benar berkesan, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan.
Kempen kesedaran, operasi sekatan rawak dan pendidikan trafik sejak di bangku sekolah perlu digiatkan. Malah, teknologi kamera juga wajar dipertingkat dengan papan tanda elektronik yang memberi amaran awal, sekali gus mengelakkan brek mengejut.
Persepsi negatif kamera hanya berfungsi sebagai ‘mesin kutip saman’ juga perlu dihapuskan.
Kerajaan harus telus menjelaskan tujuan pemasangan serta memastikan hasil saman digunakan untuk menaik taraf keselamatan jalan raya.-UTUSAN
MDM LYEZA
Johor










