SEREMBAN: Pembangunan sektor logistik dan perindustrian di Negeri Sembilan menerima lonjakan baharu menerusi termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) dan Golog Holdings Sdn. Bhd (Golog Holdings).
Ia bagi membangunkan Taman Perindustrian Hab Berkembar Udara China–Malaysia (China–Malaysia Air Silk Road Dual Hub Industrial Park) di MVV TechValley dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan RM8 bilion.
MoU berkenaan disempurnakan Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee Chin Chuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Golog Holdings, Ivan Chin.
Kelvin berkata, kerjasama dengan Golog Holdings menandakan langkah penting ke arah menjadikan MVV TechValley sebagai hab logistik serantau yang berdaya saing.
“Kepakaran Golog dalam AI, automasi dan logistik rantaian sejuk pintar amat selaras dengan visi kami membangunkan ekosistem industri masa depan yang mampan dan berimpak ekonomi tinggi.
“Penyertaan Golog bukan sahaja akan memperkukuh keupayaan logistik MVV TechValley, tetapi juga melonjakkan keseluruhan pembangunan ini sebagai destinasi inovasi, industri bernilai tinggi dan hab keterhubungan global,” katanya.
Sementara itu, Ivan berkata, fasa pertama pembangunan seluas 42 hektar itu dijangka bermula dalam tempoh 24 bulan akan datang, dengan tumpuan kepada pengukuhan logistik sejuk beku bagi menyokong rangkaian eksport dan pengeluar tempatan.
Beliau berkata, enam pusat utama akan dibangunkan dalam projek itu, terdiri daripada pusat penghantaran, pusat inovasi teknologi kecerdasan buatan (AI), Pusat Kebudayaan Henan, pusat pameran, pusat perdagangan, dan sistem digital bersepadu.
“Pembangunan ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama dengan memperkukuh logistik sejuk beku Golog dalam memperkasa petani dan pengeksport untuk menembusi pasaran dunia; fasa kedua iaitu membina pusat logistik antarabangsa dengan membuka pintu kepada perdagangan global; dan fasa ketiga iaitu membangunkan taman perindustrian komprehensif.
“Ketiga-tiga fasa ini akan membentuk satu ekosistem perdagangan dan teknologi,” katanya.
Projek di atas tanah seluas 250 hektar itu bakal menjadi pemangkin dalam memperkukuh ekosistem logistik dan perindustrian negara khususnya di Malaysia Vision Valley (MVV), serta menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab pelaburan baharu selepas Lembah Klang.
Taman perindustrian berkenaan dirancang sebagai pelabuhan darat (inland port) lengkap dengan kemudahan kastam dan setor rantaian sejuk berteknologi tinggi, yang dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, mengurangkan kos logistik serta mempercepatkan urus niaga perdagangan antarabangsa.
Golog Holdings akan memanfaatkan platform berasaskan AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi mengoptimumkan operasi logistik termasuk penjejakan masa nyata dan keselamatan barangan sensitif suhu.
Langkah itu turut disokong oleh kerjasama strategik Golog dengan China Henan Aviation Group Co. Ltd., yang ditandatangani pada 18 September lalu bagi memperkukuh kapasiti kargo udara antara China dan Malaysia.
Projek ini turut melibatkan Sichuan Huashi Group Corporation Limited dan akan dibangunkan dalam tiga fasa di bawah seliaan Matrix Concepts di MVV TechValley, komponen utama dalam pembangunan MVV City seluas 963 hektar. – UTUSAN







