Pekerja swasta dituduh rogol kenalan wanita

Pekerja swasta dituduh rogol kenalan wanita

DAVID Lau Heng Seng (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang atas pertuduhan merogol kenalan wanitanya di sebuah hotel, Ahad lalu. -UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang pekerja swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan wanitanya di sebuah hotel, Ahad lalu.

Tertuduh, David Lau Heng Seng, 25, membuat pengakuan tersebut dan meminta supaya dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah merogol seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah hotel di daerah Timur Laut di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 5 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan kenalan tertuduh dan dia datang ke Pulau Pinang untuk bercuti. Mangsa juga dikatakan menyewa sebuah bilik hotel di pusat bandar sepanjang bercuti di negeri ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong menawarkan wang jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan pasportnya pula perlu diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh diwakili Peguam, Teh See Khoon dan K.Sagana memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan wang tersebut hanya ditawarkan untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan bukannya satu bentuk denda.

“Anak guam saya baru sahaja menamatkan pengajian, penjamin adalah ibunya yang merupakan kakitangan kerajaan. Dia (anak guam) juga yang membawa plaintif ke hospital dan menunggu plaintif di hospital sehingga dia ditahan polis,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan menganggu mangsa sehingga kes selesai serta tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes kemudian ditetapkan pada 12 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×