Lebih 58,000 penduduk haram Yahudi ceroboh al-Aqsa dalam tempoh setahun - Utusan Malaysia

Lebih 58,000 penduduk haram Yahudi ceroboh al-Aqsa dalam tempoh setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekurang-kurangnya 58,310 penduduk haram Israel menceroboh masuk ke kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur dalam tempoh 12 bulan lalu, peningkatan 14 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin.

Data itu direkodkan antara 2 Oktober 2024 hingga 22 September 2025, dengan peningkatan mendadak kebelakangan ini sempena sambutan beberapa perayaan Yahudi seperti Rosh Hashanah, Yom Kippur, dan Sukkot yang bermula pada 6 Oktober lalu dan berlangsung selama seminggu.

Menurut laporan kementerian, penyerbuan berlaku sebanyak 26 kali hanya pada bulan September, di mana peneroka Yahudi memasuki kompleks Masjid Al-Aqsa dengan kawalan ketat polis Israel, dan dalam beberapa kes turut diiringi oleh pegawai serta menteri kerajaan Israel.

Di Masjid Ibrahimi di Hebron, wilayah Tebing Barat, tentera Israel menghalang laungan azan sebanyak 92 kali sepanjang bulan September, sebagai sebahagian daripada usaha membahagikan masa dan ruang antara umat Islam dan Yahudi di kawasan suci itu.

Kementerian Wakaf menyatakan tindakan-tindakan ini merupakan pelanggaran serius terhadap kesucian tempat ibadah Islam, selain cubaan mencipta realiti baharu di Baitulmuqaddis dan Hebron.

Katanya, perlakuan ritual keagamaan Yahudi di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa bukan sahaja mencetuskan provokasi terhadap umat Islam, malah dilihat sebagai usaha mengubah identiti Islam Baitulmuqaddis.

Sehubungan itu, kementerian tersebut menggesa masyarakat antarabangsa campur tangan segera bagi menghentikan pencabulan berterusan terhadap tempat-tempat suci Islam, lapor agensi berita Wafa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×