PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas ditahan polis ketika menyamar sebagai penghantar barang untuk menyamun dan merogol wanita di sebuah residensi di Wangsa Maju dekat sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pecah rumah di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bertindak atas maklumat, dua anggota polis bergegas ke lokasi dan memanggil penghuni rumah namun tiada jawapan diterima.
“Lima minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki sebelum polis memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan masuk untuk membuat pemeriksaan.
“Lelaki berkenaan tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya dalam
satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggota polis berjaya mengelak sebelum suspek menumbuk muka dan menggigit tangan salah seorang daripada mereka selain pengawal keselamatan turut membantu menahan lelaki terbabit.
Bagaimanapun, selepas ditahan, suspek mengadu sesak nafas sebelum ambulans dipanggil ke lokasi.
“Pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba 40 minit kemudian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
“Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini mendapati punca kematian masih dalam siasatan dan laporan makmal telah dipohon bagi mengenal pasti punca sebenar,” jelasnya.
Fadil berkata, pemeriksaan forensik juga tidak menemui sebarang kecederaan nyata pada tubuh badan suspek.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati semasa kejadian, empat wanita tempatan berada di dalam rumah berkenaan.
“Suspek mengikat tangan kesemua mangsa sebelum mengurung tiga daripadanya di bilik utama.
“Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali termasuk di bilik mandi. Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan,” jelasnya.
Fadil berkata, dalam kejadian sama, suspek turut melarikan wang tunai RM200 serta kad ATM milik mangsa sebelum melakukan serangan tersebut.
“Siasatan mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes samun,” katanya.-UTUSAN










