Merdekakan OKU daripada beban kos

Merdekakan OKU daripada beban kos

KERAJAAN perlu segera melengkapkan prasarana sekolah bagi memenuhi keperluan anak-anak berkeperluan khas setanding swasta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH aktivis, Greta Thunberg, yang muncul di barisan hadapan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang belayar menuju ke Gaza menjadi tumpuan dunia.

Lebih membangkitkan kekaguman dunia, gadis berhati waja itu merupakan penghidap sindrom Asperger, sejenis autisme, kemudiannya disifatkan sebagai ‘kuasa luar biasa’ yang mendorongnya untuk terus berjuang.

Dilahirkan pada 2003 di ibu negara Sweden, Greta dibesarkan dalam keluarga seni, yang mana ibunya, Malena Ernman, ialah seorang penyanyi opera manakala bapanya, Svante Thunberg, seorang pelakon.

Kisah gadis hebat itu masih menjadi sebutan ramai, namun ketrampilannya sudah pasti bukan wujud begitu sahaja tanpa pendidikan terbaik yang dilaluinya sebagai seorang remaja.

Justeru sempena pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat ini, diharap kerajaan dapat mewujudkan dana khas bagi menambahbaik prasarana pendidikan untuk pelajar golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.

Fasiliti atau kemudahan asas untuk OKU di sekolah-sekolah wajar dipertingkatkan dalam usaha memberi pendidikan lebih komprehensif dan sistematik.

Golongan OKU sebagaimana pelajar-pelajar normal turut memerlukan infrastruktur yang dapat menyokong pembelajaran mereka.

Yang rakyat harapkan, Belanjawan kali ini turut meliputi kos pembinaan dan pembangunan prasarana golongan tersebut selaras piawaian antarabangsa dapat diperuntukkan.

Menurut Presiden Pertubuhan Kesedaran Autism Kuala Lumpur (Sedar Autism), Siti Fauzliana Abdul Razak, pihaknya mempunyai beberapa cadangan bagaimana kerajaan boleh menambah baik kemudahan OKU atau kanak-kanak yang berkeperluan khas di sekolah.

Siti Fauzliana berkata, penambahbaikkan kemudahan OKU di sekolah-sekolah amat kritikal dan usaha mentransformasi kemudahan tersebut harus segera dilaksanakan.

Katanya lagi, antara keperluan asas golongan OKU adalah prasarana untuk terapi. Tempat paling awal golongan ini perlu berada selain dari rumah sendiri adalah sekolah.

Maka kewujudan prasarana untuk terapi penting bagi memastikan pelajar OKU atau kanak-kanak memiliki emosi yang lebih stabil untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama rakan sealiran di sekolah.

Mengulas kelengkapan di sekolah, Siti Fauzliana berkata, laluan untuk pelajar berkerusi roda dan golongan cacat penglihatan, bilik tenang dan gimnasium kanak-kanak berkeperluan khas adalah antara keperluan yang wajib ada di setiap sekolah yang mempunyai aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Selain memudahkan pergerakan, kesemua kemudahan ini penting bagi menangani isu emosi dan hiperaktif.

Jelasnya lagi dengan adanya keperluan asas ini, emosi murid dapat disalurkan dengan betul dan sekali gus guru-guru juga akan dapat meneruskan usaha mendidik dan mengajar anak-anak murid dengan lebih semangat dan efektif.

Pihaknya percaya, pengurusan murid dan kerja-kerja guru-guru akan menjadi lebih lancar dan sistematik kerana kedua-dua pihak berada dalam keadaan mental yang optimum.

Mengulas lanjut mengenai prasarana terapi, Siti Fauzliana merasakan perkara paling penting adalah setiap PPKI wajib mempunyai program terapi mereka sendiri yang dijalankan oleh guru-guru pendidikan khas berkelulusan dalam bidang berkaitan.

Tambahnya lagi, keperluan terapi cara kerja, pertuturan, tingkah laku, fisioterapi dan lain-lain lebih penting untuk dijadikan subjek teras sebelum mewajibkan pembelajaran subjek mengikut silibus Kementerian Pendidikan.

Ini katanya, bagi melatih anak-anak tersebut untuk mempunyai kesiapsiagaan diri untuk belajar.

TERBEBAN DENGAN KOS TINGGI

Menyentuh isu kos, Siti Fauzliana berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai kemampuan untuk menghantar anak-anak istimewa mereka ke sesi terapi swasta kerana kekangan kewangan, selain kos yuran yang tinggi.

Purata perbelanjaan adalah RM300 seminggu (dengan harga RM150 sejam yang paling murah dalam pasaran sekarang), untuk anak-anak yang perlu menjalani terapi sekurang-kurangnya dua kali seminggu di fasiliti swasta.

Di Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM), yuran intervensi awal untuk orang awam mencecah antara sekitar RM650 hingga RM1,200 sebulan, bergantung jenis kelas (kelas penuh hari, intensif dan lain-lain.

Untuk pusat swasta, ada yang mengenakan bermula yuran bermula RM1,500 hingga RM12,000 sebulan.

Bagi perkhidmatan intervensi awal dan pendidikan di pusat swasta, purata yuran bulanan sekitar RM1,000 hingga RM10,000, mengikut mod intervensi yang diperlukan.

Cadangnya lagi, jika terapi dapat diadakan sebagai subjek wajib seperti subjek-subjek akademik lain sedia ada, pihaknya percaya, sistem pendidikan khas dalam negara pasti menjadi efektif dan dapat dicapai setiap individu dalam kalangan komuniti OKU.

Dengan kos dan permintaan yang semakin meningkat, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk melengkapkan prasarana di sekolah-sekolah kerajaan demi memenuhi keperluan anak-anak berkeperluan khas.

Ini kerana jelasnya, dengan keadaan ekonomi semasa, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2023, seramai 2.2 peratus daripada OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghadapi pelbagai kesukaran mendapatkan tempat belajar di sekolah-sekolah kerajaan.

Pun begitu, data ini pasti lebih tinggi kerana masih ramai yang tidak berdaftar dengan JKM atas pelbagai alasan.

Oleh itu, Belanjawan 2026 menjadi medan penting untuk membuktikan komitmen kerajaan memastikan tiada kanak-kanak berkeperluan khas tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.

Greta Thunberg membuktikan keterbatasan bukan penghalang untuk memberi impak besar kepada dunia.

Demikian juga anak-anak istimewa di Malaysia, dengan sokongan prasarana, terapi dan pendidikan yang sewajarnya, mereka bukan sahaja mampu berdikari, malah berpotensi menjadi aset berharga negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×