Bahasa Melayu sudah pupus?

Bahasa Melayu sudah pupus?

KEPINCANGAN memartabatkan bahasa Melayu berpunca daripada kegagalan pemerintah bertindak tegas khususnya dalam bidang pendidikan dan pentadbiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUNGGUHNYA bahasa Melayu sebagai bahasa negara sedang mengalami kepupusan, bahkan ada yang berpendapat ia sudah pun pupus, memandangkan proses kepupusan itu wujud dalam pelbagai bentuk.

Kepupusan bahasa tidak semestinya berlaku hanya apabila bahasa itu lenyap sepenuhnya dari muka bumi selepas penutur jati terakhir meninggal dunia. Ia juga boleh berlaku apabila tiada lagi sesiapa yang mampu menuturkannya.

Kepupusan seperti ini lazimnya berlaku pada bahasa komuniti minoriti di pedalaman yang sering tidak sempat dikaji, termasuk bagi tujuan dokumentasi ilmiah. Dalam hal ini, pendokumentasian bahasa dijalankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian daripada usaha melestarikan kepelbagaian budaya dunia.

Sejak November 2001, UNESCO memikul tanggungjawab melindungi warisan linguistik manusia dengan menyokong sebanyak mungkin bahasa yang dituturkan di seluruh pelosok dunia agar tidak pupus dalam apa jua bentuk.

Selain bentuk kepupusan yang memperlihat lenyapnya sesebuah bahasa itu untuk selama-lamanya, yang selalunya berlaku pada kelompok primitif sesebuah tempat terpencil, ia juga boleh wujud dalam bentuk peranjakan. Inilah yang sebenarnya sedang berlaku pada bahasa Melayu.

Ia bermakna bahasa Melayu sudah beranjak daripada bahasa besar dan penting, khususnya setelah tertubuhnya negara ini kepada bahasa kecil dan tidak sepenting dahulu lagi, malah tidak penting lagi pada masa ini.

Ini kerana peranan pentingnya diambil alih satu persatu, sama ada secara perlahan-lahan atau mendadak oleh bahasa lain yang lebih berkuasa dan berprestij, selain lebih glamor.

Dalam pada ini, peranjakan bahasa dianggap tetap berlaku walaupun terdapat alasan dan kukuh untuk mempertahankannya. Contoh, beralihnya bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris akibat tekanan global yang memang tidak dapat dielakkan.

Kayu ukur kepada peranjakan ini ialah apabila bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam sesuatu urusan, sebaliknya digantikan dengan bahasa lain sama ada secara separa atau sepenuhnya. Dalam kebanyakan keadaan, bahasa yang mengambil alih ialah bahasa Inggeris.

Hal begini dapat dilihat pada sistem pendidikan kebangsaan yang sudah membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pilihan lain sebagai bahasa pengantar. Ini berlaku seawal peringkat sekolah rendah lagi untuk mengendalikan pendidikan sebilangan mata pelajaran sains dan teknologi selain matematik.

Selain berlanjutan di peringkat menengah, perkara sama dapat dilihat terus berlaku pada pengajian prauniversiti dan berakhir di institusi pendidikan tinggi Awam (IPTA).

Sudah tentu peranjakan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Dalam hal ini, Bahagian 17 dengan jelas dan tegasnya menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Selain bidang pendidikan, peranjakan bahasa dapat dilihat dengan terang lagi bersuluh pada sektor awam. Sektor awam sangat terikat dengan penggunaan bahasa Melayu yang wajib selaku bahasa negara. Ini dapat dilihat pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 berkenaan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.

Dalam hal ini, ia menggariskan langkah pemerkasaan itu yang tidak boleh sesekali dikompromikan. Antaranya dengan memaklumkan penggunaan bahasa Melayu yang betul, baik dan sopan secara wajib semasa menguruskan ehwal rasmi negara, khususnya melibatkan warganegara Malaysia.

Oleh itu, tidak timbul sama sekali persoalan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara untuk urusan rasmi dan formal oleh sektor awam.

Sebenarnya peraturan penggunaan bahasa Melayu sahaja dalam sektor awam bukan hanya wujud pada 2020 sebaliknya lebih lama dari itu, bermula dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006, diikuti pula oleh Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011.

TANGGUNGJAWAB PEMERINTAH

Peranjakan bahasa tidak berlaku secara kebetulan tetapi berpunca daripada tindakan pemerintah. Cara pemerintah bertindak bukan sahaja mempengaruhi, malah menentukan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Sehubungan itu, tindakan positif melalui prakarsa dan dasar yang benar-benar berkesan mampu melegitimasikan serta mengembangkan bahasa Melayu.

Sebaliknya, retorik kosong hanyalah tindakan negatif yang tidak mengendahkan bahasa Melayu dan menghalangnya daripada berkembang. Dengan kata lain, kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa negara bergantung sepenuhnya pada tindakan pemerintah, khususnya dalam menetapkan kualiti dan kuantiti penggunaannya di segenap institusi negara.

Tanggungjawab ini wajib digalas oleh elit politik dan pentadbiran, bukan sahaja dalam ranah rasmi tetapi juga tidak formal.

Maka, pemerintah hendaklah menguruskan bahasa Melayu dengan penuh tanggungjawab agar identiti nasional negara serta budaya rakyat dapat terbina dengan kukuh. Hal ini penting bagi memupuk jiwa kebangsaan yang kental, rasa bangga, kasih dan setia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Namun hakikatnya, bahasa Melayu kini semakin mengecil peranannya. Dari bahasa besar yang suatu masa dahulu menjadi tunjang negara, ia telah beranjak menjadi bahasa kecil yang dipandang tidak penting.

Keadaan ini mesti disedari, diinsafi dan segera ditangani kerana kesan sosiobudaya daripada peranjakan bahasa amatlah serius. Antara kesan buruknya ialah kehilangan warisan budaya dan sistem ilmu watan yang terkandung dalam bahasa Melayu. Akibatnya, identiti nasional semakin terhakis apabila generasi hari ini tidak lagi mengaitkan diri dengan bahasa Melayu, sebaliknya menyanjung bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan.

Atas kesedaran ini, pemerintah harus bertindak segera untuk menghentikan gejala peranjakan bahasa. Kehilangan bahasa Melayu bermakna kepupusan warisan budaya bangsa, yang bukan sahaja penting bagi etnik Melayu sebagai kelompok asal, majoriti dan dominan tetapi juga kepada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) kerana warisan Melayu ialah teras utamanya.

Oleh itu, pemerintah perlu memperbetulkan keadaan dengan melawan arus peranjakan ini melalui usaha pelestarian bahasa Melayu.

Tindakan itu harus dilakukan bukan sahaja dengan memastikan tetapi juga mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam ranah rasmi negara pada setiap masa.

Langkah ini bukan sekadar selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, bahkan merupakan peruntukan undang-undang yang wajib dipatuhi tanpa pengecualian oleh mana-mana pihak di negara ini.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×