RAMAI ibu bapa beranggapan anak hanya akan mula menulis apabila masuk sekolah. Hakikatnya, kemahiran ini berkembang sejak usia awal dan kegagalan anak prasekolah menulis tidak wajar dipandang ringan.
Pada usia dua tahun, kanak-kanak sudah mula menconteng garis menegak. Menjelang tiga tahun mereka mampu melukis bulatan, manakala bentuk silang, kotak dan segi tiga biasanya dikuasai antara usia empat hingga lima tahun setengah. Perkembangan asas ini penting sebagai tapak pembentukan huruf dan perkataan.
Menulis kekal signifikan walaupun kita hidup dalam era digital. Tulisan tangan masih berperanan sebagai medium komunikasi asas dan teras pembelajaran formal.
Kanak-kanak menghabiskan sehingga separuh masa persekolahan dengan tugasan melibatkan tulisan.
Kegagalan menguasai kemahiran ini boleh menjejaskan prestasi akademik, bacaan, ejaan serta keupayaan menyusun idea.
Malah, kajian menunjukkan kesukaran menulis berkait rapat dengan kelemahan dalam matematik dan bacaan hingga ke sekolah menengah.
Selain akademik, tulisan tangan turut mempengaruhi aspek emosi. Anak yang tulisannya tidak kemas mudah hilang keyakinan diri apabila sering menerima markah rendah atau dilabel malas, walhal mereka sebenarnya berdepan masalah kemahiran motor dan koordinasi. Situasi ini boleh menimbulkan tekanan serta menjejaskan keyakinan diri.
Kemahiran menulis memerlukan gabungan kompleks antara kawalan motor halus, koordinasi mata-tangan, memori kerja dan perhatian. Apabila salah satu komponen lemah, tulisan menjadi perlahan, tidak konsisten atau sukar dibaca.
Tanpa intervensi, masalah ini tidak hilang dengan sendirinya. Kajian mendapati 10 hingga 30 peratus kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah mengalami kesukaran menulis berpanjangan.
Intervensi awal amat penting. Terapi cara kerja terbukti berkesan meningkatkan kelajuan, ketepatan dan keyakinan menulis melalui latihan motor halus, integrasi visual-motor serta program tulisan khas seperti Handwriting Without Tears. Kerjasama guru dan ibu bapa juga penting bagi menjadikan aktiviti menulis menyeronokkan, bukan bebanan.
Kesimpulannya, kegagalan anak prasekolah menguasai menulis bukan isu remeh. Ia tanda awal yang boleh menjejaskan masa hadapan akademik dan emosi.
Dengan kesedaran ibu bapa, sokongan guru dan intervensi awal, anak-anak dapat menguasai kemahiran menulis, membina keyakinan diri dan membuka jalan kepada kejayaan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA AHMAD ZAMIR CHE DAUD
Pensyarah Terapi Cara Kerja
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










