APMM belanja RM229 juta menyenggara aset lama, berisiko

LKAN 3: Maritim Malaysia belanja RM229 juta menyenggara aset lama, berisiko

Maritim Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbelanjaan sebanyak RM229.93 juta oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi kapal berusia lebih 30 tahun pada tahun lalu, menunjukkan kebergantungan terhadap aset lama yang berisiko daripada segi fungsi dan kos.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, Maritim Malaysia juga didapati membelanjakan RM78 juta bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun sekali gus menunjukkan beberapa kelemahan yang memberi kesan kepada keberkesanan perbelanjaan dan kawalan tadbir urus kerja.

Selain itu, kapal KM Langkawi yang berusia 37 tahun merekodkan perbelanjaan penyelenggaraan tertinggi berjumlah RM28.40 juta.

“Berdasarkan rekod Return of Vessel Availability (ROVA), kapal ini tidak beroperasi sejak 16 Januari 2023. Kerja penyenggaraan refit telah mula dilaksanakan pada 10 Mei 2024 dan siap pada 6 Jun lalu.

“Bagi bot pula, Penggalang 15 yang berusia 12 tahun merekodkan perbelanjaan penyelenggaraan tertinggi, iaitu berjumlah RM5.26 juta,” katanya.

LKAN berkata, semakan audit mendapati daripada jumlah RM530.84 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM521.39 juta telah dibelanjakan.

Ini bermakna, Maritim Malaysia masih mempunyai baki peruntukan berjumlah RM9.45 juta yang tidak dibelanjakan pada akhir 2024.

“Berdasarkan maklum balas Maritim Malaysia, baki ini merupakan jumlah yang telah diperuntukkan untuk bayaran Kapal KM Bendahara, namun tidak dilaksanakan menggunakan peruntukan itu, peruntukan pembayaran cukai yang tidak dituntut oleh syarikat dan penjimatan daripada sebut harga.

“Cadangan asal pembayaran Kapal KM Bendahara (Ex-USCGC Steadfast) sebanyak RM4 juta tidak dilaksanakan menggunakan peruntukan ini.

“Baki sejumlah RM5.39 juta merupakan lebihan peruntukan pembayaran cukai yang tidak dituntut oleh syarikat kerana memperoleh pengecualian cukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan baki sejumlah RM0.06 juta merupakan penjimatan daripada sebut harga,” katanya.

Bagi mengatasi kelemahan itu, LKAN mengesyorkan langkah penambahbaikan seperti merancang dan mengatur dengan teliti kerja penyelenggaraan kapal dan bot.

“Ini bagi memastikan peruntukan diterima dapat dibelanjakan secara optimum serta memastikan kerja penyelenggaraan dapat disiapkan pada tahun semasa bagi mengelakkan risiko kenaikan kos kesan pelaksanaan kerja penyelenggaraan secara berfasa pada tahun berikutnya,” katanya.

Untuk rekod, Maritim Malaysia memiliki 237 aset laut yang beroperasi di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang, salah laku jenayah atau pencerobohan dilakukan dalam perairan Malaysia.

Setakat 31 Disember lalu, aset laut Maritim Malaysia terdiri daripada 71 kapal dan 166 bot berusia antara setahun hingga 44 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×