MARAN: Terlalu biadab dan kurang ajar perbuatan penyokong PKR Sarawak, Iswardy Morni yang mempersenda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusi Majlis Persatuan Kebudayaan Daerah Maran, Datuk Ariffin Awang Ismail berkata, kenyataan Iswardy menerusi video secara langsung miliknya berbaur hasutan dan penghinaan kepada Al-Sultan Abdullah.
Tambah beliau, perbuatan dan kata-kata aktivis berkenaan disifatkan terlalu kurang ajar kerana menuding jari kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Rakyat yang setia kepada Yang di-Pertuan Agong yang mematuhi lima Prinsip Rukun Negara amat tercabar dengan sikap biadab terlampau itu.
“Pihak berkuasa perlu bertindak tegas dengan perbuatan biadab tersebut mengikut lunas undang-undang tanpa berkompromi lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chenor di sini hari ini.
Iswardy ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di Kajang, Selangor, bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Siasatan terhadap ahli PKR Cabang Petra Jaya, Sarawak itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Pengerusi Persatuan Sahabat 60-an Pahang,. Kamaruzaman Hassan pula menyifatkan Iswardy terlalu lancang mulutnya seolah-olah mempertikai keintelektualan Yang di-Pertuan Agong.
Tegasnya, ramai rakyat terkejut dengan kebiadapan terlampau Iswardy yang seolah-olah memperbudak-budakkan Al-Sultan Abdullah.
Seorang pesara tentera, Tengku Hasani Tengku Ahmad berkata, rakyat melihat secara dekat kes itu kerana cara keceluparan aktivis tersebut luar biasa terhadap Yang di-Pertuan Agong
Katanya, Iswardy menghina Seri Padukan Baginda melalui bahasa tubuh iaitu menunjukkan jari ke lensa sambil menghaburkan kata-kata penghinaan.
“Iswardy harus dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada rakyat yang lain,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











