LKAN: 157 projek sakit libat 18 kementerian

LKAN: 157 projek sakit libat 18 kementerian

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 157 projek lewat mengikut jadual ditetapkan atau dikategorikan sebagai projek sakit melibatkan 18 kementerian setakat 31 Disember 2024.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Kementerian Pendidikan mencatatkan bilangan projek sakit tertinggi iaitu 46 projek.

Selain itu, turut diikuti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak 34 projek, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) 12 projek, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan 11 projek.

“Empat projek lewat mengikut jadual dengan kelewatan fizikal melebihi 20 peratus telah mendapat Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) antara dua hingga 10 kali dengan tempoh sehingga 785 hari.

“Dua daripada empat projek berkenaan berada di bawah Kementerian Pertahanan di Sabah iaitu pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Angkatan Tugas Bersama 2, Kem Kukusan, Tawau dan RKAT Pangkalan Udara Labuan,” kata laporan itu.

Projek lain ialah Menaik Taraf Galeria Perdana, Langkawi di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta pembinaan Sekolah Baharu enam bilik darjah, asrama dan rumah guru di Sekolah Kebangsaan Metalun, Belaga, Sarawak di bawah KPM.

Pada akhir 2024, sebanyak 3,829 projek atau 43.7 peratus berada dalam pelaksanaan, manakala 2,400 projek masih di peringkat pra pelaksanaan dan 2,355 projek berada di peringkat pasca pelaksanaan.

Sebanyak 171 projek pula berstatus batal dan disimpan dalam pemerhatian.

Prestasi perbelanjaan projek bagi tempoh 2021 hingga 2024 merekodkan RM315.932 bilion iaitu melebihi peruntukan diluluskan sebanyak RM307.908 bilion.

Jumlah ini mencapai 76.1 peratus daripada siling peruntukan RM415 bilion bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selepas Kajian Separuh Penggal RMK12.

LKAN 3/2025 turut mengesyorkan setiap kementerian dan jabatan mengambil tindakan segera bagi memastikan pelaksanaan projek RMK12 dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan menjelang akhir 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×