PKP menyeluruh rezeki buat peniaga pasar awam - Utusan Malaysia

PKP menyeluruh rezeki buat peniaga pasar awam

Pasar Pasir Penambang di Kuala Selangor semalam menjadi tumpuan orang ramai menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bermula esok ternyata memberi rezeki kepada peniaga di Pasar Awam Pasir Penambang di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata jualan peniaga di pasar awam tersebut meningkat dan habis lebih awal selain pelanggan yang mengunjungi pasar awam tersebut lebih ramai berbanding hari biasa.

Salah seorang peniaga ayam, Nurlela Suhaimi, 33, berkata, biasanya stok ayam yang dibawa sejak pelaksanaan PKP kira-kira 20 ekor sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, melihat pelanggan agak ramai sejak semalam, saya telah membawa stok ayam lebih banyak berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah, 30 ekor ayam yang dibawanya habis terjual kira-kira pukul 12 tengah hari iaitu dua jam sebelum operasi pasar terbabit tamat.

“Di sebalik pengumuman ini, ia memberi rezeki kepada kami peniaga pasar yang hanya bergantung menjual ayam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini

Terdahulu, tinjauan mendapati suasana di pasar itu terkawal walaupun jumlah pengunjung agak ramai. Semua pengunjung mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyukat suhu badan dan mendaftar kehadiran di aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, seorang peniaga sayur, Nuraisyah Ahmad, 21, berkata, jumlah pengunjung pasar awam berkenaan hari ini lebih sedikit berbanding semalam.

Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan pengunjung, menurutnya, situasi di pasar terkawal dengan kehadiran beberapa anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Negara (Rela) yang mengawal kemasukan pengunjung.

“Kebanyakan mereka membeli barangan susulan pengumuman PKP dan antara sayuran yang habis terjual seperti cili, timun dan bendi.

“Malah, hari ini juga kehadiran pelanggan amat menggalakkan dan saya berharap semua jualan dapat habis awal,” katanya yang telah berniaga pasar itu sejak lapan tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN