KUALA NERUS: Projek pembangunan akuaponik marin berasaskan polikultur yang diterajui Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuka peluang kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan menjana pendapatan tambahan secara praktikal dan mampan.
Projek melibatkan 30 peserta itu adalah program inisiatif Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan Akuatrop UMT itu sebahagian daripada pelaksanaan Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam Komuniti@UniMADANI dengan peruntukan berjumlah RM100,000.
Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu, Imran Faisal Zulkifli berkata, projek itu membuka ruang baharu kepada ahli SBM menceburi bidang akuakultur berskala kecil.
“Projek udang umpan dan latok ini sedang dijalankan dan bersedia untuk dijual dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kami mempunyai lima tangki udang umpan yang menempatkan kira-kira 3,500 ekor udang manakala 10 tangki latok dijangka mula mengeluarkan hasil dalam tempoh sebulan,” katanya pada Bengkel Pemindahan Ilmu dan Peluncuran Projek Pembangunan Polikultur Akuaponik Marin untuk Penjanaan Pendapatan Tambahan yang diadakan di Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini, baru-baru ini.
Presiden SBM, Mohd. Mustaza Mohammed Zin menyifatkan ia sebagai sinar buat komuniti OKU yang sering berdepan keterbatasan dalam mendapatkan peluang ekonomi.
“Projek ini membuktikan dengan sokongan teknologi dan latihan yang betul, golongan OKU mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.-UTUSAN.










