KULAI: Kerajaan akan menambah baik kualiti dan perkhidmatan liputan internet melibatkan tujuh kategori kawasan tumpuan bagi membolehkan capaian internet yang lebih baik dan stabil kepada pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, antara lokasi itu termasuklah kawasan penganjuran acara, institusi pengajian tinggi (IPT), kem tentera, stadium, kawasan pelancongan, hospital serta lebuh raya dan laluan protokol.
Menurut beliau, ketika ini kerja-kerja naik taraf liputan internet di 17 lokasi telah siap dilaksana, sementara perbincangan sedang diadakan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melibatkan 81 IPT di seluruh negara turut diadakan.
“Bagi kategori kem tentera, 73 kem telah dikenal pasti dan kini berada pada fasa permohonan cadangan (request for proposal), manakala bagi kategori stadium, satu lokasi telah siap dinaik taraf manakala dua lagi sedang dalam pelaksanaan.
“Bagi kawasan pelancongan, 23 lokasi dikenal pasti dengan enam daripadanya telah siap, sementara itu 20 lokasi bagi kategori hospital dan tujuh lokasi bagi kategori lebuh raya dan laluan protokol tujuh lokasi telah dirancang di mana satu daripadanya telah siap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Run For The Future anjuran I-Jaya Management Sdn. Bhd. di Hutan Bandar Putra Kulai, di sini hari ini.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memuji tindakan proaktif pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur yang menambah tulisan bahasa Iban dan Kadazan pada dinding sambutan (Welcome Wall) menara tersebut, selain penambahbaikan tulisan Tamil.
Katanya, langkah itu mencerminkan semangat Malaysia Madani yang meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa tempatan di negara ini.
“Apabila isu berkaitan tulisan Tamil tular baru-baru ini, pihak pengurusan bertindak menambah baik paparan tersebut. Saya juga cadangkan agar bahasa Iban dan Kadazan juga ditambah kerana ia melambangkan identiti masyarakat di Sabah dan Sarawak,” jelasnya. – UTUSAN










