BATU PAHAT: Program Jelajah Orang Johor (JOJ) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 1,502 peserta berbusana etnik dalam perarakan tanglung yang berlangsung meriah malam tadi.
Kejayaan itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perarakan tanglung berpakaian etnik tradisional kaum terbanyak pernah diadakan di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, berkata kejayaan bersejarah itu membuktikan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Batu Pahat amat kukuh serta mampu dizahirkan melalui sambutan kebudayaan seperti Pesta Tanglung.
“Penyertaan pelbagai kaum dalam meraikan pesta ini bukan sahaja memperkukuh keharmonian masyarakat tempatan, malah seiring dengan agenda Maju Johor yang menekankan nilai perpaduan dan identiti negeri,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Beliau berkata, selain peserta berbusana etnik, kira-kira 500 pengunjung turut hadir memeriahkan program yang diadakan di hadapan sebuah pasar raya terbesar di daerah itu.
Lebih menarik, sebanyak 5,000 tanglung dengan logo Maju Johor diedarkan secara percuma kepada orang ramai sehingga menarik perhatian pelancong dan penduduk sekitar untuk turut serta.
Turut hadir ialah Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd. Rahim, serta wakil rasmi MBOR, Megat Farish Hussein Megat Muzaffar Shah.
Sementara itu, peserta muda, Nurul Syuhada Jasman, 19, berkata pengalaman menyertai perarakan sambil berpakaian tradisional Melayu amat mengujakan dan menjadi kenangan berharga.
“Program seperti ini bukan sahaja melambangkan perpaduan rakyat Johor, malah memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada pelancong luar yang turut hadir menyaksikannya,” katanya. – UTUSAN








