GSF: Kapal disekat, tapi suara aktivis tembusi dunia

GSF: Kapal disekat, tapi suara aktivis tembusi dunia

BEBERAPA kapal GSF yang dpintas dan dirampas tentera Israel tiba di Pelabuhan Ashdod. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketika kapal-kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) belayar menuju Gaza dalam usaha mencabar sekatan Israel, matlamat utama mereka bukan untuk mendarat tetapi membawa mesej yang jauh lebih besar iaitu Gaza tidak bersendirian.

Ratusan aktivis antarabangsa dari pelbagai latar belakang sanggup mengambil risiko ditahan, diusir, malah berdepan konfrontasi dengan satu daripada kuasa ketenteraan paling agresif di dunia.

Apa yang berlaku di Laut Mediterranean bukan sekadar operasi pintasan oleh tentera laut Israel sebaliknya permulaan bab baharu dalam gerakan solidariti global. Setiap aktivis di atas kapal itu membawa bersama semangat dan keazaman yang merentas sempadan dan ideologi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun Israel berjaya menyekat kapal-kapal itu daripada sampai ke Gaza, mereka gagal menyekat suara para aktivis.

Sekembalinya ke negara masing-masing, suara mereka akan bergema lebih kuat iaitu di media, dewan Parlimen, universiti dan pentas-pentas antarabangsa untuk menceritakan kebenaran yang disaksikan.

Bezanya aktivis flotila ini adalah pada keaslian pengalaman mereka kerana bukan lagi hanya penyokong yang membaca laporan dan melihat gambar.

Mereka sendiri sudah melihat depan mata kekejaman sekatan Israel, merasai tekanan ketenteraan dan menyaksikan bagaimana misi damai cuba dihalang dengan kekerasan.

Pengalaman mereka sama ada ditahan, didera atau diusir bakal menjadi kisah benar yang mampu menyentuh hati ramai dan membuka mata golongan yang selama ini diam dan tidak peduli.

Israel menyangka dengan menghentikan kapal, mereka mampu memadamkan misi tersebut. Namun hakikatnya, setiap tindakan keras Israel melahirkan lebih banyak suara berani yang membawa cerita perjuangan Palestin ke seluruh pelosok dunia.

Soalnya bukan lagi ‘apakah kapal berjaya sampai ke Gaza?, tetapi ‘berapa ramai duta tidak rasmi untuk Palestin yang telah lahir daripada pelayaran ini?.

Melalui perspektif ini, misi Freedom Flotilla tetap dianggap kejayaan strategik dan moral, walaupun disekat secara fizikal.

Gaza tidak hanya perlukan makanan dan ubat-ubatan. Yang lebih penting ialah kebebasan bersuara dan sokongan antarabangsa. Freedom Flotilla membuktikan dengan keberanian dan solidariti, lautan sekalipun boleh menjadi mimbar perjuangan, dan setiap aktivis adalah saksi hidup yang membawa suara Gaza ke pantai-pantai dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini