MASA berjalan pantas, tanpa disedari, kita sudah melangkah ke bulan Oktober. Ini bermakna hanya tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berhadapan dengan ujian penting dalam hidup mereka.
Sebagai bekas guru yang berpengalaman 25 tahun mengajar kelas peperiksaan, saya amat memahami denyut nadi warga pendidik yang kini berhempas pulas memastikan anak didik mereka bersedia sepenuhnya.
Dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), tumpuan sepenuhnya kini tertumpu kepada SPM.
Tempoh dua bulan terakhir ini adalah fasa ‘pecutan akhir’. Pelbagai program intensif diatur oleh pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu pelajar. Tidak cukup dengan itu, ramai guru turut mengorbankan masa dan tenaga menganjurkan sesi tambahan secara peribadi. Ia usaha murni yang wajar dipuji.
Dalam fasa ini, semua pihak perlu membuat pengorbanan, termasuk ibu bapa. Sekiranya terdapat pertindihan antara program sekolah dan urusan keluarga, keutamaan seharusnya diberikan kepada program akademik kecuali dalam keadaan luar jangka seperti kematian saudara mara.
Namun, satu perkara yang mendukacitakan ialah halangan dan sekatan terhadap usaha meraikan kejayaan pelajar dan guru. Terdapat pandangan luar yang mendakwa majlis penghargaan boleh melukakan hati pelajar yang tidak berjaya. Ini pandangan tidak berasas. Meraikan kecemerlangan bukan diskriminasi tetapi motivasi.
Pelajar cemerlang mengorbankan masa remaja mereka selama lima tahun. Mereka wajar dihargai, bukan sekadar dengan ucapan tetapi juga dengan majlis yang bermakna. Ia bukan sahaja menyuntik semangat kepada mereka, malah menjadi inspirasi kepada adik-adik yang lain.
Oleh itu, kami berharap tiada lagi arahan saat akhir daripada Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang menghalang majlis penghargaan SPM.
Apa gunanya semua pihak bersusah payah, bersengkang mata dan berkorban, jika kejayaan akhirnya tidak boleh diraikan?-UTUSAN
CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang










