Banteras buli melalui pendidikan adab, ihsan

Banteras buli melalui pendidikan adab, ihsan

MEMBANTERAS budaya buli menuntut usaha kolektif untuk membina persekitaran sekolah yang selamat, inklusif dan berteraskan nilai ihsan. – ILUSTRASI AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMAM al-Ghazali pernah menegaskan adab mendahului ilmu, suatu pandangan yang sangat mendalam dan masih relevan dalam konteks pendidikan masa kini.

Hal ini sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beradab dan berintegriti tinggi.

Namun, isu buli yang semakin meruncing dalam kalangan murid membuktikan pendidikan nilai dan sahsiah masih belum mencukupi.

Buli bukan sahaja berbentuk fizikal seperti memukul atau mencederakan tetapi juga boleh berlaku secara lisan, emosi, sosial dan melalui platform digital seperti media sosial, iaitu buli siber. Fenomena ini sering berlaku apabila wujud ketidakseimbangan kuasa antara pelaku dan mangsa.

Antara faktor utama yang mendorong gejala buli ialah latar belakang keluarga yang tidak harmoni, tekanan emosi, pengaruh rakan sebaya dan budaya senioriti yang diterima tanpa soal.

Tambahan pula, pengaruh media yang memaparkan keganasan sebagai norma kehidupan turut menyumbang kepada pembentukan tingkah laku agresif dalam kalangan murid. Murid yang gagal mengawal tekanan akademik juga kadangkala menjadikan buli sebagai saluran untuk melepaskan emosi.

Pencegahan buli memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Sekolah perlu melaksanakan dasar antibuli dengan tegas dan membina sistem pelaporan yang selamat serta efektif.

Selain itu, pendidikan nilai seperti empati, hormat dan kemahiran menyelesaikan konflik tanpa kekerasan perlu diterapkan secara berterusan melalui pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta program kepimpinan murid.

Peranan ibu bapa juga sangat penting. Mereka perlu menjadi contoh teladan dalam komunikasi yang berhemah, penuh kasih sayang dan pemantauan terhadap penggunaan teknologi anak-anak.

Pendidikan keibubapaan serta literasi media wajar diperluas agar ibu bapa lebih peka terhadap risiko buli siber dan tanda-tanda awalnya.

Akhirnya, membanteras budaya buli menuntut usaha kolektif untuk membina persekitaran sekolah yang selamat, inklusif dan berteraskan nilai ihsan. Apabila sekolah, ibu bapa dan masyarakat berganding bahu, kita mampu melahirkan generasi berakhlak mulia dan menolak budaya penindasan.-UTUSAN

MUHAMAD YAZID ABDUL WAHAB
Pegawai School Improvement Partners+
Pejabat Pendidikan Daerah Mersing

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×