HANOI: Angka korban akibat Taufan Bualoi di Vietnam meningkat melebihi 50 orang, dengan lebih 12 lagi masih hilang beberapa hari selepas ribut itu mencetuskan banjir besar.
Taufan Bualoi melanda Vietnam Ahad lalu dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam dan membadai daratan hampir 12 jam.
Hujan lebat daripada ribut itu menenggelamkan ibu negara Hanoi minggu ini, manakala banjir dan tanah runtuh merosakkan lebih 200,000 rumah, infrastruktur awam dan kawasan pertanian di seluruh negara.
Kementerian Alam Sekitar menganggarkan kerosakan akibat Taufan Bualoi mungkin mencecah sehingga AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Ribut itu dan kesannya meragut sekurang-kurangnya 51 nyawa, manakala 14 lagi masih hilang, menurut kemas kini terbaharu kementerian pada Jumaat.
Tanah runtuh meragut beberapa nyawa di kawasan pergunungan utara negara itu, serta menjejaskan akses ke destinasi pelancongan popular seperti Sapa dan Mu Cang Chai.
Imej di media sosial dan saluran rasmi menunjukkan jalan raya musnah teruk sementara bongkah batu besar dan tanah menghalang laluan gunung.
Jabatan kaji cuaca berkata, paras banjir mula surut, namun memberi amaran Taufan Matmo yang kini menghampiri utara Filipina mungkin memberi kesan kepada kawasan utara Vietnam awal minggu depan.
Matmo akan menjadi ribut ke-11 tahun ini yang melanda Vietnam, sebuah negara yang biasanya merekodkan sehingga 10 ribut setiap tahun.
Taufan Bualoi sebelum ini mengorbankan 37 orang dan memaksa 400,000 orang meninggalkan kediaman mereka di Filipina minggu lalu.
Perubahan iklim akibat aktiviti manusia sedang memperhebat kejadian cuaca ekstrem seperti taufan, menjadikannya lebih berbahaya dan merosakkan.
Antara Januari hingga Ogos, ribut menyebabkan Vietnam kerugian sebanyak AS$371 juta (RM1.56 billion), tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Pejabat Statistik Umum.
Taufan Yagi tahun lalu membunuh ratusan orang di Vietnam dan menyebabkan kerugian ekonomi bernilai AS$3.3 bilion (RM13.91 billion).-AFP










