KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah larangan terhadap pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada menjalankan sebarang urusniaga atau mengakses 2.5 juta saham syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Palantir Technologies.
Saham tersebut dikatakan dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada peringkat yang dikenali sebagai `Fasa Good Star’.
Menurut keterangan saksi dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, berkata, tiada seorang pun dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mengetahui wang berjumlah AS$700 juta dipindahkan kepada syarikat Good Star pada 2009.
Sementara itu, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam keterangannya pada perbicaraan sama menyata, Bank Negara Malaysia mengambil masa enam tahun bagi mengesan dana AS$700 juta milik 1MDB yang sepatutnya dibayar bagi projek usaha sama, sebaliknya dipindahkan kepada entiti yang salah.
Pemindahan dana berkenaan yang keseluruhannya berjumlah AS$1 bilion didakwa 1MDB bertujuan bagi pemerolehan 40 peratus saham dalam projek usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).
Pemindahan itu dibuat dalam dua peringkat di mana pembayaran sebanyak AS$700 juta sebaliknya dimasukkan ke dalam syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, pada 2009 iaitu Good Star Limited dan AS$300 juta dipindahkan kepada syarikat usaha sama (JV).
Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Palantir ditubuhkan pada 2003 oleh pengasas bersama Paypal, Peter Thiel yang mempunyai pengkhususan dalam perisian kecerdasan buatan (AI) dalam analisis data.
Menurut Nasdaq, saham Palantir sebelum ini ditutup pada harga AS$184.95 sesaham dengan nilai pasaran sekitar AS$433 bilion.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini telah mengeluarkan beberapa perintah larangan serupa terhadap Obaid dan beberapa individu lain yang berkait dengan penyelewengan dana RM2.3 billion 1MDB.
Mac lalu, mahkamah telah mengeluarkan perintah serupa terhadap Obaid, syarikat barang kemas SJ Philips Limited dan syarikat perkhidmatan logistik barang berharga, Malca-Amit Far East Limited Hong Kong.
Ia daripada membuat sebarang urusan termasuk memindah, menjual atau melupuskan 41 barang kemas bernilai £9 juta yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng. – UTUSAN










