NEW DELHI: Perayaan Dussehra di India bertukar tragedi apabila sekurang-kurangnya 13 penganut Hindu, termasuk ramai kanak-kanak perempuan, maut dalam dua insiden berasingan di negeri Madhya Pradesh pada Khamis.
Dalam kejadian pertama, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh selepas traktor yang membawa lebih dua dozen penumpang terbabas dan terhumban ke dalam sebuah kolam di kawasan Pandhana, daerah Khandwa, kira-kira 290 kilometer dari ibu negeri Bhopal.
Mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara perendaman patung Dewi Durga sempena sambutan Dussehra, menurut laporan media tempatan.
Traktor itu dilaporkan diparkir di atas jambatan sementara sebelum terjatuh ke dalam kolam berhampiran. Operasi menyelamat sedang giat dijalankan dan pasukan penyelamat telah menemui sekurang-kurangnya 11 mayat setakat ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di daerah Ujjain, dua kanak-kanak turut terbunuh apabila sebuah lagi traktor yang membawa 12 orang penganut terjunam ke dalam Sungai Chambal ketika satu upacara.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kedua-dua kejadian tersebut.










