KISAH tiga remaja Mohammad Aiman Afiq Mohd. Basri, 19, A’jwaa Abdul Hadi, 20 dan Mohammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam, 19, yang menghadapi kesulitan kewangan sehingga hampir-hampir menyebabkan mereka tidak dapat menyambung pengajian di universiti wajar kita renungi bersama.
Memang benar bukan semua dilahirkan dalam dulang emas. Ramai yang terpaksa berusaha keras dan berikhtiar dengan pelbagai cara sebelum berjaya dalam menuntut ilmu ataupun berjaya dalam kehidupan.
Walaupun dari segi geografi, ketiga-tiga remaja ini tidak berada di lokasi sama, mereka menghadapi ujian yang serupa. Kesukaran untuk menjelaskan yuran pengajian dan membeli kemudahan komputer riba yang dianggap perkara asas bagi mahasiswa masa kini.
Apa pun, terima kasih kepada pihak-pihak yang peka dan mengambil perhatian dalam membantu ketiga-tiga remaja terbabit. Kini Aiman boleh melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL), A’jwaa di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Aidil ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Islam mengajarkan umatnya kemiskinan adalah perkara negatif yang perlu dielakkan. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik dalam hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW (marfu’) bahawa baginda bersabda yang bermaksud: Hampir sahaja kefakiran itu menjadi sebab kepada kekufuran. (Riwayat al-Baihaqi)
Di samping itu, Islam secara tegas menolak idea kemiskinan adalah nasib yang perlu diterima secara pasif. Malah Islam tidak mengajar untuk reda kepada kefakiran dan kemiskinan yang dapat diatasi dengan pelbagai cara. Antara cara terbaik mengatasi kemiskinan adalah melalui penguasaan ilmu pengetahuan.
Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan .(al-Mujadalah: 11)
Untuk itu, tidak dapat tidak, umat Islam terutama golongan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mesti menanam cita-cita dan berazam untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Tidak kiralah dalam bidang akademik ataupun teknikal dan vokasional.
Ingatlah pesan Imam al-Syafie iaitu: Sesiapa yang berkehendak kepada dunia, maka hendaklah ia mencari ilmu dan sesiapa berkehendak kepada akhirat juga, hendaklah ia mencari ilmu. (Manaqib Imam al-Syafie).
MASJID KENA MAIN PERANAN
Selain peranan institusi zakat menyediakan bantuan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), masjid juga disaran mengambil inisiatif serupa. Antaranya, menyediakan dana membantu anak-anak kariah yang menghadapi kekangan kewangan terutama untuk melunaskan bayaran pendahuluan masuk universiti.
Masjid-masjid yang mempunyai banyak dana sehingga mencecah ratusan ribu, janganlah hanya simpan duit sumbangan orang ramai. Sebabnya, jemaah yang menyumbang itu mahu melihat duit yang disalurkan dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Ini bermakna, ia bukan sahaja untuk membiayai program ceramah agama dan pengajian berkitab. Sebaliknya ia merangkumi semua aspek untuk maslahah umat. Segala program yang memberi manfaat sepatutnya boleh dibantu oleh masjid jika ia mampu dari segi kewangan.
Dalam kes seperti anak-anak kariah yang kekurangan wang untuk menyambung pengajian, masjid patut mengambil inisiatif membantu. Jika tidak mampu memberi sepenuhnya contoh RM1,500 untuk pendahuluan yuran pendaftaran, ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh mengadakan tabung kutipan khas. Ataupun membuat kutipan dalam kalangan beberapa jemaah tertentu bagi membantu remaja terlibat.
Selain itu, maklumkan juga kepada para jemaah bahawa tabung derma masjid itu adalah untuk tujuan umum. Ini agar duit sumbangan boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada siapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.
Yang penting, sediakan laporan kewangan yang terperinci agar jemaah boleh tahu di manakah sumbangan mereka dibelanjakan. Pamerkan penyata tersebut di papan tanda atau laman web masjid. Zaman sekarang, ketelusan amat penting untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat terutama para penderma.
Jika mereka dapati semua sumbangan derma diuruskan dengan baik oleh AJK masjid, insya-Allah mereka akan terus menderma. Malah, yakinlah lebih ramai jemaah lain akan turut memberi sumbangan.
Secara asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan itu hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma.
Ada masjid di kawasan bandar yang kutipan Jumaatnya mencecah puluhan ribu seminggu. Maka sayugialah, ia dibelanjakan untuk pengimarahan program masjid. Selain mempelbagaikan kuliah, adakan juga aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Jika boleh libatkan orang bukan Islam kawasan sekitar.
Jika jemaah menyumbang kepada tabung-tabung khas untuk pengurusan anak yatim, maka duit tersebut hanyalah digunakan kepada tujuan tersebut. Bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma).
Lebih malang, jika masjid yang ada duit banyak tetapi tidak terurus dari segi infrastukturnya. Pintu tandasnya berlubang-lubang, kunci pintunya rosak, kipas tidak berfungsi, lampunya tidak menyala dan sebagainya.
Hal-hal yang menambah keselesaan jemaah seperti menambah baik sistem pembesar suara dan alat pendingin hawa patut diberi perhatian. Demikian juga, boleh aturkan program riadah seperti futsal atau ping pong terutama untuk para remaja.
Ruang ibadat itu luas. Maka jangan kita sempitkan kepada aktiviti seperti kuliah dan ceramah agama semata-mata. Pelbagai program sukan, masakan, menjahit termasuk membuat kandungan (content) dalam media sosial patut juga dianjurkan oleh masjid.
Bagi masjid yang ada kawasan lapang untuk remaja main bola sepak atau futsal, sekali-sekala sediakan mereka minuman dan makanan ringan. Ini supaya hati mereka dekat dengan masjid. Sambil itu, ingatkan mereka untuk menutup aurat dan berhenti bermain dan solat apabila azan dilaungkan.
Golongan AJK mesti mencari jalan supaya masjid menjadi pusat sehenti dan mesra pengguna. Ia menjadi tumpuan semua lapisan masyarakat. Bagi kanak-kanak dan remaja, masjid bukan sahaja tempat solat tetapi boleh beriadah.
Bagi wanita, selain mengikuti kuliah duha, boleh juga menambah kemahiran dengan program-program masakan atau menjahit. Ini kalau diuruskan dengan baik, boleh juga menambah pendapatan kepada anak-anak kariah.
Golongan bapa pula, selain solat berjemaah, masjid menjadi pusat ukhuwah dan bertegur-sapa selepas seharian di pejabat.
Pada zaman Rasulullah SAW, masjid yang dibina atas nilai ketakwaan kepada Allah SWT bukan menjadi tempat untuk orang Islam menunaikan solat semata-mata.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










