PETALING JAYA: Tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) memintas dan menahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah merupakan penghinaan moral terhadap nurani sejagat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Parlimen Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan akan terus mendesak supaya kebertanggungjawaban ditegakkan, keadilan dipertahankan serta nyawa orang awam tidak berdosa dilindungi.
“Kita berdiri teguh bersama rakyat Malaysia yang terlibat dan semua yang menyertai misi kemanusiaan ini.
“Kita mendoakan keselamatan segera mereka, pembebasan yang pantas serta agar bantuan kemanusiaan itu dapat sampai ke Gaza yang amat memerlukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal konvoi GSF tersebut yang digerakkan oleh orang awam dengan tujuan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang dikepung.
“Tujuan utama konvoi GSF ini hanyalah untuk menghantar bekalan menyelamatkan nyawa, namun kini berdepan kekerasan dan intimidasi yang tidak wajar.
“Penahanan 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi ini dengan niat murni amatlah membimbangkan.Komitmen mereka untuk berdiri bersama golongan tertindas sepatutnya dihormati, bukannya dikriminalisasikan,” tegasnya.
Johari berkata, tindakan Israel itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva, malah menyinggung nilai kemanusiaan sejagat yang seharusnya dipertahankan oleh masyarakat dunia.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
SNCC memaklumkan setakat ini, 10 kapal berada pada status “diserang”, manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat “kecemasan”. – UTUSAN










