ANKARA: Kerajaan Turkiye mengutuk keras tindakan Israel memintas dan menyerbu flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa, menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk “keganasan” yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam nyawa orang awam.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Turkiye, insiden itu dianggap sebagai serangan terhadap aktivis keamanan yang membawa bantuan perubatan dan makanan untuk penduduk Gaza. Turkiye menegaskan bahawa perbuatan tersebut mencabuli prinsip kemanusiaan dan hak pelayaran bebas di laut terbuka.
Menurut laporan, beberapa kapal flotila seperti Alma, Sirius dan Adara dinaiki secara paksa oleh tentera Israel.
Sebelum itu, komunikasi kapal diganggu secara sengaja bagi menyekat siaran langsung serta isyarat kecemasan daripada disampaikan ke dunia luar.
“Serangan ini menunjukkan bahawa dasar fasis dan militeristik kerajaan Netanyahu bukan hanya menindas rakyat Palestin, tetapi juga menyasarkan mana-mana pihak yang menentang penindasan Israel,” kata kenyataan itu.
Turkiye menyifatkan insiden ini sebagai satu pelanggaran serius terhadap undang-undang laut dan hak asasi manusia.
Kerajaan Turkiye kini bekerjasama dengan negara-negara lain yang mempunyai warganegara dalam flotila tersebut bagi menyelaras langkah susulan, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab.
Turkiye turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta komuniti antarabangsa agar bertindak segera untuk menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza dan memastikan kebebasan pelayaran di rantau berkenaan dipelihara.
Flotila berkenaan, dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, berlepas dari Barcelona awal bulan ini dan merupakan misi bantuan laut terbesar setakat ini ke Gaza. Ia disertai oleh aktivis dari 46 negara, termasuk Malaysia, dengan matlamat menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah tersebut.










