CEBU: Angka korban akibat gempa bumi kuat di Filipina tengah meningkat kepada 69 orang sementara hospital di pulau Cebu berdepan limpahan pesakit yang cedera ketika pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat.
Gempa bumi cetek 6.9 magnitud itu melanda kira-kira pukul 9.59 malam (waktu tempatan) Selasa berhampiran bandar Bogo dan gegaran turut dirasai di beberapa bandar berhampiran termasuk Palompon.
Pasukan kecemasan terdiri daripada tentera, polis dan sukarelawan awam digerakkan sejak awal pagi Rabu, melakukan pencarian dari rumah ke rumah dengan bantuan anjing pengesan.
Pegawai Pertahanan Awam berkata, lebih 150 cedera dengan hospital di Bogo dilaporkan sesak dengan pesakit, memaksa kakitangan perubatan merawat mangsa di luar bangunan dan di bawah khemah khas yang disediakan.
Ratusan gegaran susulan yang melanda sepanjang malam memaksa pesakit dipindahkan keluar ke ibu kota wilayah Cebu, kira-kira 100 kilometer ke selatan.
“Kami sudah terbeban, tetapi kami perlu lakukan apa yang termampu demi menyelamatkan pesakit,” kata anggota penyelamat, Teddy Fontillas, 56.
Gambar yang dirakam media menunjukkan jalan-jalan di bandar itu dipenuhi serpihan bangunan.
Di bandar San Remigio, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh termasuk tiga anggota Pengawal Pantai Filipina dan seorang anggota bomba apabila sebuah kompleks sukan runtuh ketika perlawanan bola keranjang berlangsung.
Beberapa gereja turut runtuh dan puluhan sekolah terpaksa dikosongkan.
Di Daanbantayan, utara Bogo, Gereja St. Rita runtuh manakala Dewan Perbandaran retak besar dengan mangsa yang cedera, termasuk kanak-kanak menangis ketika menerima rawatan kecemasan di bawah khemah sementara.-AGENSI










