Kerajaan Persekutuan AS ditutup, ratusan ribu pekerja terjejas

Kerajaan Persekutuan AS ditutup, ratusan ribu pekerja terjejas

SENATOR Demokrat, Amy Klobuchar berucap pada perhimpunan Health Care Over Billionaires selepas penutupan kerajaan di Capitol AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) ditutup selepas ahli Parlimen Republikan dan Demokrat gagal menyelesaikan kebuntuan bajet, sekali gus menjejaskan pembiayaan operasi dengan Presiden, Donald Trump mengancam akan melaksanakan lebih banyak pemecatan dalam kalangan kakitangannya.

Penutupan itu bermula beberapa jam selepas Senat menolak langkah perbelanjaan jangka pendek yang sepatutnya memastikan operasi kerajaan berterusan sehingga 21 November.

Parti Demokrat menentang undang-undang itu kerana keengganan Parti Republikan untuk melampirkan lanjutan manfaat kesihatan untuk jutaan rakyat AS yang akan tamat tempoh pada akhir tahun ini namun Republikan pula bertegas isu itu perlu ditangani secara berasingan.

Dalam undian 55 berbalas 45, Rang Undang-Undang Perbelanjaan Sementara gagal mencapai majoriti 60 undi, memaksa agensi kerajaan menamatkan semua operasi disifatkan ‘tidak penting’ mulai Rabu.

Trump pula menambah tekanan apabila mengancam akan memotong beberapa program kegemaran Demokrat serta memecat lebih ramai kakitangan kerajaan selepas penutupan berlaku. 

“Kita akan buang ramai orang, dan mereka itu Demokrat,” katanya.

Krisis itu dijangka menambah lagi masalah kekurangan tenaga kerja kerajaan, selepas lebih 150,000 kakitangan mengambil skim pemisahan sukarela minggu ini, jumlah terbesar dalam tempoh 80 tahun ketika puluhan ribu yang lain sudah pun diberhentikan tahun ini.

Beberapa agensi termasuk Jabatan Kehakiman dan Pentadbiran Keselamatan Sosial turut menghantar memo kepada kakitangan yang bakal digantung kerja dengan menyalahkan Demokrat atas kegagalan mengelak penutupan kerajaan.

Penutupan itu dijangka turut mencetuskan gangguan besar kepada rakyat, termasuk laporan pekerjaan bulanan, pinjaman perniagaan kecil, perkhidmatan pelanggan, perjalanan udara hinggalah lawatan ke zoo.

Ia juga meletakkan 40 peratus tenaga kerja persekutuan seramai lebih 800,000 orang dalam cuti tanpa gaji .

Ia turut memberi kesan kepada penumpang pesawat dalam pelbagai cara, termasuk berlakunya barisan keselamatan yang panjang serta kelewatan disebabkan pengawal trafik udara yang enggan bekerja tanpa gaji.

Kesan turut dirasai rakyat yang merancang melancong ke luar negara, apabila agensi pasport AS memberi amaran proses dokumen perjalanan mungkin mengambil masa lebih lama daripada biasa.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Trump mengurangkan perbelanjaan kerajaan serta memotong jawatan persekutuan, berulang kali memberi amaran penutupan boleh mempercepatkan lagi pemberhentian pekerja dan membolehkannya mengurangkan perkhidmatan serta program yang dianggap penting bagi Demokrat.

Penutupan kerajaan pernah berlaku pada 2018 dan 2019 ketika penggal pertama Trump selama 35 hari, paling lama dalam sejarah AS yang menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$3 bilion (RM 12.62 bilion).-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×