KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan wanita baharu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyifatkan pemain utama negara, K. Letshanaa masih memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan dalam arena antarabangsa.
Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu melihat Letshanaa sudah memiliki corak permainan menyerang dan pukulan berbisa tetapi masih kerap melakukan kesilapan di saat penting.
Iskandar yang baru pulang daripada tugasan bersama skuad Ireland percaya aspek taktikal dan penyudah pukulan perlu menjadi fokus utama dalam pembangunan pemain muda negara.
“Buat masa ini saya lihat Letshanaa masih belum cukup matang. Dia memiliki permainan menyerang, ada pukulan tajam dan boleh mematikan mata.
“Namun ketika mendahului dia terlalu yakin dan pada masa yang sama banyak berfikir hingga kerap kehilangan mata mudah,” katanya kepada pemberita pada sesi Latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Menurut Iskandar, kelemahan sama turut dapat dilihat pada satu lagi pemain wanita, Wong Ling Ching yang dianggap mempunyai semangat juang tinggi tetapi masih kurang dalam aspek penyudah pukulan.
Katanya, Ling Ching seorang pejuang namun perlu menambah pukulan pemati bagi mempertingkatkan kualiti permainan pada masa depan.
“Seorang lagi pemain, (Wong) Ling Ching memang ada semangat juang yang tinggi, tetapi dia perlu menambah pukulan pemati untuk mempertingkatkan permainan. Kami akan analisis dan merancang supaya dia tampil lebih menyerang selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Iskandar turut menyentuh mengenai gaya permainan pemain Eropah yang lebih menekankan aspek fizikal.
Justeru, bekas ketua jurulatih perseorangan Ireland itu menegaskan beliau akan menekankan aspek taktikal dan kecergasan kepada pemain wanita negara.
“Fizikal memang penting, tetapi penekanan saya adalah kepada taktikal kerana pemain kita sudah ada asas yang baik, cuma mereka belum benar-benar faham bagaimana untuk bermain dengan lebih berkesan dalam gelanggang,” katanya.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 30 Jun lalu mengumumkan pelantikan Iskandar sebagai pengganti Jeffer Rosobin dari Indonesia yang meletakkan jawatan tahun lalu. – UTUSAN











