DOHA: Cadangan gencatan senjata Gaza yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan diterima oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijangka tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat Palestin.
Menurut penganalisis Al Jazeera, meskipun penghentian serangan udara Israel bakal melegakan penduduk Gaza, pelan 20 perkara Trump dilihat hampir tidak menawarkan sebarang kelebihan lain untuk rakyat Palestin.
Peguam dan penganalisis Palestin, Diana Buttu, menyifatkan cadangan gencatan senjata itu sebagai satu pendekatan kolonial kerana masa depan rakyat Palestin ditentukan oleh Israel serta AS.
“Jika anda membaca perjanjian itu sendiri, tiada sebarang jaminan diberikan kepada rakyat Palestin, langsung tiada. Semua jaminan hanya diberikan kepada Israel,” katanya.
FOKUS DI GAZA MASIH KABUR
Di bawah pelan itu, pertempuran di Gaza akan dihentikan, tebusan Israel sama ada hidup atau meninggal dunia dikembalikan sebagai pertukaran kepada ratusan tahanan dan mayat Palestin.
Selepas itu, Hamas dikehendaki menyerahkan kawalan ke atas Semenanjung Gaza kepada Lembaga Keamanan, sebauh pentadbiran peralihan antarabangsa yang dipengerusikan oleh Trump, dengan keanggotaan termasuk bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Tony Blair.
Anggota Hamas yang berjanji untuk ‘hidup bersama secara aman’ serta melucutkan senjata akan diberikan pengampunan, manakala mereka yang ingin meninggalkan Gaza diberi laluan selamat ke negara penerima.
Penghantaran bantuan akan disambung semula, tentera Israel didakwa akan berundur selepas syarat tertentu dipenuhi walaupun tidak jelas sama ada rejim akan menguatkuasakan pengunduran itu.
Selain itu, pelan pemulihan ekonomi akan dibangunkan oleh pakar yang pernah mencipta ‘bandar moden ajaib yang berkembang maju di Asia Barat’.
Trump memberi amaran jika tawarannya ditolak, Israel akan diberi kuasa penuh dengan sokongan AS untuk mengambil apa sahaja tindakan yang difikirkan sesuai di Gaza.
Ketika ini, pertubuhan hak asasi manusia dan cendekiawan sudah pun menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, Penolong Profesor di Institut Pengajian Siswazah Doha, Muhannad Seloom berkata, banyak perkara masih samar.
Katanya, walaupun Pihak Berkuasa Palestin (PA) disebut dalam cadangan itu, tiada peranan segera diberikan sehingga ia menamatkan program reformasi yang dirangka daripada pelbagai cadangan.
Trump menyebut pelan damai 2020 serta cadangan Arab Saudi-Perancis, namun tidak jelas reformasi mana yang dimaksudkannya.
Selama ini, PA ditekan untuk memperbaiki tadbir urus, tangani rasuah, ubah kurikulum pendidikan dan rombak bantuan keluarga tahanan Palestin, namun Setiausaha Negara AS, Marco Rubio tetap menolak perubahan itu.
Bagi penganalisis, PA mesti meyakinkan Israel dan AS mengenai proses reformasi sebelum boleh kembali mentadbir Gaza, namun tanpa garis panduan jelas, ia boleh berlarutan tanpa had masa.
PENYELESAIAN DUA NEGARA MAKIN MUSTAHIL
Pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa negara Barat baru-baru ini, termasuk Kanada, Australia, UK, Perancis dan Portugal, tidak banyak mengubah realiti di lapangan.
Walaupun komuniti antarabangsa terus mengangkat naratif ‘penyelesaian dua negara’, penganalisis menegaskan keadaan sebenar semakin menjadikan idea itu mustahil.
Wilayah Palestin semakin berpecah akibat dasar Israel, dengan penempatan haram di Tebing Barat berkembang pesat dan keganasan tentera serta pelampau Yahudi terus memusnahkan rumah serta merampas tanah.
Malah, sebelum perang di Gaza, rakyat Palestin sudah pun menghadapi sekatan pergerakan yang ketat, rampasan tanah, dan halangan besar untuk keluar dari wilayah itu.
Kini, penganalisis bimbang cadangan Trump hanya akan lebih memisahkan Gaza daripada Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmuqaddis Timur.
Cadangan itu hanya menyebut secara sepintas lalu tentang ‘laluan yang boleh dipercayai menuju penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin’, bergantung kepada program reformasi PA yang kabur dan tidak menentu.
“Persoalannya, dari mana lagi mahu dibentuk sebuah negara Palestin? Semua orang mengiktiraf negara Palestin ketika ia sedang dihapuskan. Itulah masalahnya,” kata Buttu.
Trump juga meletakkan Palestin bergantung sepenuhnya pada niat baik pihak luar, tanpa sebarang mekanisme jelas jika Israel enggan berundur dari Gaza.
Pada masa sama, Netanyahu juga secara terbuka berikrar untuk menggagalkan sebarang usaha menubuhkan negara Palestin.
“Tidak akan ada negara Palestin,” kata Netanyahu, sehari sebelum undian Perhimpunan Agung PBB yang meluluskan resolusi menyokong penyelesaian dua negara.











