KUANTAN: Penggiat e-hailing dan p-hailing merayu kerajaan naikkan kelayakan petrol Program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 600 hingga 700 liter sebulan kerana jumlah 300 liter yang ditetapkan tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi harian mereka.
Pengerusi Majlis Gig Malaysia (MyGig), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dalam mesyuarat agung pertama bersama lebih 60 wakil penggiat industri gig kelmarin, pemandu e-hailing dan p-hailing memaklumkan, 300 liter BUDI95 tidak selari dengan realiti kerja lapangan buat mereka yang melibatkan perjalanan jauh serta masa operasi panjang.
“Kerajaan diharap menilai semula kadar kelayakan ini secara lebih inklusif, berdasarkan data sebenar penggunaan petrol oleh pemandu sepenuh masa. Ramai antara mereka terkesan dan terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi.
“MyGig turut mencadangkan agar satu mekanisme khas diwujudkan bagi menilai semula kelayakan dan keperluan penggiat industri secara berkala, agar bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada golongan sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, semua rakyat Malaysia menerima siling kelayakan bulanan 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September lalu.
Harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan program tersebut manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Sementara itu, Mohd. Sharkar berkata, MyGig menyarankan kerajaan segera melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang sudah pun diluluskan di Dewan Rakyat demi memastikan keberkesanan perlindungan dan kebajikan kepada jutaan penggiat ekonomi gig.
“Sampai masanya kerajaan bertindak segera, memandangkan golongan pekerja gig kini berada dalam keadaan yang semakin mencabar daripada segi pendapatan, perlindungan sosial dan kestabilan pekerjaan. Ia juga menjadi titik tolak kepada pembentukan ekosistem ekonomi gig yang lebih mampan dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, MyGig juga berharap kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat advokasi dan kawal selia, malah berperanan penting dalam menyeimbangkan kuasa kapitalisme digital agar lebih adil dan beretika. – UTUSAN










