ALOR SETAR: Cadangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mahu kembali tampil dengan identiti mereka iaitu menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) boleh dipertimbangkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu boleh diketengahkan dalam mesyuarat PN akan datang untuk dibincangkan secara lebih mendalam.
Beliau berkata, pihaknya tidak melihat cadangan Gerakan itu akan menimbulkan sebarang masalah kepada PN kerana telah mempraktiskan perkara sama di Kelantan dan Terengganu iaitu menggunakan logo Pas.
“Biasanya kita pakai logo PN di Pulau Pinang, Kedah. Pilihan raya lepas hanya Kelantan, Terengganu sahaja pakai logo Pas dengan mengambil kira sosio-politik setempat. Semua itu calon PN tapi guna logo Pas.
“Di Kedah, Perlis, Pulau Pinang kita guna logo PN. Saya rasa tak ada masalah apa, kalau mereka kata cara itu boleh menarik lagi sokongan pengundi Cina maka baguslah,” katanya selepas Majlis Pelancaran TV Kedah di sini, hari ini.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pihaknya berharap pimpinan Gerakan Pusat dapat memohon kebenaran supaya Gerakan negeri bertanding menggunakan logo parti memandangkan PN pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.
“Dengan adanya kebenaran itu, ia dapat memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali melihat logo Parti Gerakan di kertas undi selepas sekian lama,” katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan Parti Gerakan Pulau Pinang 2025 pada Ahad lalu.
Pas Pulau Pinang juga dilaporkan menyatakan sokongan penuh keputusan Gerakan untuk menggunakan logo parti sendiri dalam menghadapi PRU akan datang, memandangkan ia adalah hak parti berasaskan strategi politik masing-masing. – UTUSAN










