KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menentukan sama ada meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) menerusi keputusan mesyuarat parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini BN konsisten untuk bertanding menggunakan tiket sendiri tanpa sebarang gabungan rasmi dengan mana-mana parti.
“Kalau kita pergi pilihan raya, kita tetap pergi PRU di bawah Barisan Nasional. Sama ada kerjasama sebelum atau selepas itu, perkara tersebut akan dibincangkan dalam parti dan dalam BN sendiri.
“Soalan yang dibangkitkan itu adalah hak Presiden PH kerana beliau mewakili parti mereka. Saya tidak boleh mengulas hal parti lain.
“Kita membentuk kerajaan hari ini kerana ketika itu tiada pihak yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui pada program Sentuhan Ramadan: Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Kaca Mata Belia Sekolah serta Majlis Berbuka Puasa di sini, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan sedang menunggu dua keputusan penting daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memuktamadkan strategi pilihan raya.
Menurut beliau, keputusan pertama adalah sama ada pilihan raya umum dan negeri akan diadakan serentak atau berasingan.
Keputusan kedua pula membabitkan sama ada parti komponen kerajaan akan bertanding menggunakan rangka kerja gabungan Kerajaan Perpaduan sedia ada atau sebaliknya.-UTUSAN










