Keluarga anggota tentera benteng kedua pertahanan negara

Keluarga anggota tentera benteng kedua pertahanan negara

KESIAPSIAGAAN seorang anggota tentera tidak akan sepenuhnya terjamin tanpa keluarga yang sejahtera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sering digambarkan sebagai benteng utama negara. Mereka berbaris di hadapan, menjaga perairan, ruang udara dan sempadan tanah air.

Namun, di sebalik wira berseragam itu, berdiri sebuah institusi yang jarang diberikan perhatian sewajarnya iaitu keluarga mereka.

Keluarga ATM bukan sekadar penerima kebajikan tetapi sebenarnya merupakan asas ketahanan psikologi, sosial dan ekonomi anggota tentera.

Tanpa keluarga yang sejahtera, kesiapsiagaan seorang anggota tentera tidak akan sepenuhnya terjamin. Malah, boleh dikatakan kekuatan pertahanan negara juga bertitik tolak daripada kekuatan ekonomi isi rumah anggota tentera itu sendiri.

Dalam konteks ekonomi, keluarga ATM tidak terkecuali daripada cabaran yang turut dihadapi rakyat lain. Kos sara hidup yang semakin meningkat, harga makanan yang melambung, serta persaingan dalam pasaran pekerjaan menekan isi rumah.

Bezanya, keluarga ATM berdepan realiti lebih kompleks. Mobiliti tinggi akibat penugasan menyebabkan pasangan anggota sering terpaksa berkorban kerjaya, malah anak-anak pula berhadapan dengan cabaran untuk menyesuaikan diri di sekolah baharu.

Di samping itu, anggota ATM biasanya bersara lebih awal berbanding sektor awam lain, sekali gus menyukarkan proses penyesuaian semula dalam pasaran kerja, khususnya bagi veteran muda.

Kebergantungan kepada pencen dan elaun sebagai sumber utama pendapatan isi rumah pula menjejaskan daya tahan kewangan jangka panjang. Jurang antara keluarga ATM yang tinggal di bandar dan luar bandar turut ketara, dengan akses berbeza terhadap peluang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan kesihatan. Semua ini membuktikan kebajikan keluarga ATM perlu dilihat dalam kerangka yang lebih strategik.

PERLINDUNGAN SOSIAL

Bagi mengurangkan kerentanan ini, pelbagai skim diwujudkan. Skim pencen, simpanan dan pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), kemudahan kesihatan di hospital tentera seperti Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, penyediaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta pinjaman pendidikan untuk anak-anak anggota adalah sebahagian daripada instrumen penting perlindungan sosial.

Pada masa sama, koperasi tentera, Tabung Pahlawan dan sokongan psikososial seperti kaunseling keluarga turut menjadi payung yang menjaga kebajikan anggota dan waris.

Tidak ketinggalan, peranan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) yang menjalankan program komuniti, pendidikan anak-anak, aktiviti keusahawanan kecil serta sokongan motivasi untuk memperkukuh moral keluarga. Namun, dalam era ekonomi digital dan kos sara hidup yang semakin mencabar, perlindungan sosial tradisional semata-mata tidak lagi mencukupi. Ia perlu diperkasa dengan strategi ekonomi baharu yang lebih inovatif dan lestari.

RMK13
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan besar terhadap ketahanan rakyat sebagai teras pembangunan negara. Dalam kerangka ini, keluarga ATM wajar dilihat bukan hanya sebagai penerima manfaat kebajikan tetapi juga sebagai ejen ekonomi aktif. Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuklah menyediakan lebih banyak rumah mampu milik berkualiti bagi mengurangkan beban sara hidup, memperluas akses pendidikan anak-anak tentera ke arah pekerjaan bernilai tinggi, serta memperkukuh program kesihatan dan kesejahteraan mental.

Program latihan semula (reskilling) dan latihan keusahawanan untuk pasangan serta veteran ATM juga harus diberi tumpuan, khususnya dalam bidang ekonomi digital, pertanian moden dan industri halal. Langkah sebegini bukan sahaja menambah pendapatan isi rumah tetapi juga memperkukuh ekosistem ekonomi negara secara inklusif.

Selari dengan gagasan Ekonomi Madani, koperasi veteran boleh diperkasa sebagai rantaian bekalan tempatan, manakala pasangan tentera boleh diberdayakan melalui keusahawanan digital atau perusahaan kecil.

Strategi ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang menekankan pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi.

BELAJAR DARIPADA NEGARA LAIN

Di Amerika Syarikat (AS), Hal Ehwal Veteran (VA) menyediakan rawatan kesihatan, skim pendidikan GI Bill dan sokongan kerja untuk veteran.

Australia melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (DVA) menyalurkan pencen, bantuan kesihatan mental serta program Keluarga Pertahanan Australia (DFA) yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan keluarga dan kerjaya pasangan.

Manakala di Rusia pula, kebajikan tentera merangkumi perumahan bersubsidi, rawatan kesihatan percuma, biasiswa pendidikan serta keutamaan pekerjaan bagi veteran.

Pakistan membuat pendekatan lebih mesra yang mana Yayasan Fauji ditugaskan untuk mengurus hospital, sekolah, institusi vokasional dan perniagaan dengan keuntungan disalurkan semula untuk kebajikan komuniti tentera.

Kesemua contoh ini menunjukkan kebajikan keluarga tentera adalah strategi pertahanan menyeluruh yang memperkukuh daya tahan negara.

KELUARGA SEJAHTERA, NEGARA PERKASA

Akhirnya, kita harus menginsafi ketahanan ekonomi keluarga ATM adalah sebahagian daripada strategi pertahanan negara. Jika anggota tentera adalah benteng utama, maka keluarga mbenteng kedua yang memastikan sokongan psikologi, sosial dan ekonomi sentiasa utuh.

Secara tuntasnya memperkukuh ekonomi keluarga ATM bukanlah semata-mata tanggungjawab kebajikan tetapi pelaburan strategik untuk menjamin keselamatan negara, ketahanan ekonomi dan masa hadapan generasi akan datang.-UTUSAN

DR. Nur Surayya Mohd. Saudi ialah Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×