JAKARTA: Kira-kira 91 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan sekolah di pulau utama Indonesia, Jawa, menurut pihak berkuasa, ketika pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang terselamat.
Sekolah pondok Islam bertingkat di bandar Sidoarjo itu tiba-tiba runtuh Isnin lalu, ketika pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar, menurut laporan tempatan.
“Berdasarkan rekod kehadiran pelajar, 91 orang disyaki terperangkap di bawah bahan binaan,” kata jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan tiga orang meninggal dunia, manakala 38 orang masih hilang.
Pada 1 Oktober, pegawai berkata, mereka masih berusaha mengesahkan jumlah mangsa yang hilang ketika ditanya pada sidang media di Sidoarjo.
Pasukan penyelamat memberi tumpuan kepada memberikan bantuan hayat kepada mangsa yang tersepit di bawah runtuhan, kata Ketua Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Emi Freezer.
Katanya, mereka menumpukan usaha di tujuh kawasan di mana potensi mangsa hidup dikesan.
“Struktur utama benar-benar runtuh. Kami mengutamakan operasi menyelamat mangsa yang masih menunjukkan tindak balas,” katanya.
Puluhan ibu bapa menunggu berhampiran lokasi kejadian sementara pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Laporan media tempatan memetik pegawai sekolah berkata, kerja pembinaan dijalankan selama sembilan bulan lalu.
Bangunan itu runtuh selepas tiang asas gagal menampung berat binaan baharu di tingkat empat sekolah, menurut jurucakap agensi pengurusan bencana negara, Abdul Muhari.
Standard pembinaan yang longgar menimbulkan kebimbangan meluas tentang keselamatan bangunan di Indonesia, di mana lazimnya struktur terutama rumah dibiarkan separa siap bagi membolehkan pemilik menambah tingkat kemudian apabila bajet mencukupi.- AFP










