PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan merogol bekas pembantu rumahnya bermula hari ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut mengekalkan hukuman sebat dua kali yang dikenakan terhadap lelaki itu sebelum ini.
Choo Kiong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Ipoh bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Pada 27 Julai 2022, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak terbabit bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya.
Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.
Tidak berpuas hati dengan keputusan panel hakim, ahli politik berkenaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan empat hari kemudian iaitu pada 5 Mac lalu.-UTUSAN










