KUALA LUMPUR: Wang tunai berjumlah RM169 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilucutkan haknya kepada Kerajaan Malaysia, hari ini.
Jumlah itu merangkumi wang tunai berjumlah RM14.77 juta serta pelbagai mata wang asing, termasuk SGD6.13 juta (Dolar Singapura), AS$1.46 juta (Dolar Amerika), CHF3 juta (Swiss Franc), €12.16 juta (Euro), ¥363 juta (Yen), £50,250 (Pound Sterling), NZD44,600 (Dolar New Zealand), AED34.75 juta (Dirham Emiriah Arab Bersatu) dan AUD352,850 (Dolar Australia).
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin memutuskan demikian memandangkan tiada bantahan daripada responden (Ismail dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus) dan tiada tuntutan daripada pihak ketiga, mahkamah membenarkan permohonan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009.
“Mahkamah turut membenarkan penyiaran warta pihak ketiga dan dimaklumkan ia telah disiarkan pada 22 September 2025. Namun tiada pihak tampil untuk menuntut aset berkenaan.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan semua aset yang disenaraikan dalam notis permohonan dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.
Pada prosiding 8 September lalu, mahkamah merekodkan bahawa Ismail Sabri dan Mohammad Anuar selaku responden tidak berhasrat mencabar permohonan lucut hak tersebut.
Warta pihak ketiga merujuk kepada proses yang mana mahkamah mewartakan notis memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.
Pada 17 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan lebih RM169 juta wang tunai yang dikaitkan dengan Ismail Sabri yang terdiri daripada mata wang Ringgit Malaysia berjumlah lebih RM14 juta, dan jutaan dolar dalam mata wang asing.
Menurut notis yang difailkan, permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selepas SPRM berpuas hati bahawa wang-wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) ASPRM 2009.
Pada 25 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas yang ditemui di sebuah ‘safehouse’ dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucut hak.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bera itu juga dipanggil beberapa kali untuk memberi keterangan berhubung pengisytiharan harta.
Beliau disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perolehan dana bagi promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.-UTUSAN







