Mahkamah Singapura halang pelikuidasi asing saman bank

Mahkamah Singapura halang pelikuidasi asing saman bank berkaitan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Singapura menolak cubaan pelikuidasi asing untuk menyaman Standard Chartered dan BSI Bank berhubung transaksi dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Keputusan itu sekali gus dilihat boleh menjejaskan usaha antarabangsa untuk mendapatkan semula berbilion ringgit yang hilang daripada dana berkenaan.

Menurut laporan The Straits Times, mahkamah memutuskan rangka kerja insolvensi rentas sempadan republik itu tidak boleh digunakan secara retroaktif bagi transaksi yang dibuat sebelum Akta Insolvensi, Penstrukturan Semula dan Pembubaran 2018 berkuat kuasa.

Liquidator Blackstone Asia Real Estate Partners dan Brazen Sky, dua syarikat yang terlibat dalam skandal berbilion dolar itu sebelum ini cuba mengemukakan tuntutan pembatalan transaksi atau avoidance claims di Singapura.

Tuntutan tersebut bertujuan untuk membalikkan urus niaga yang meragukan serta mendapatkan kembali aset yang didakwa dialihkan secara tidak sah daripada pihak pemiutang.

Bagaimanapun, Hakim Aidan Xu menolak kedua-dua permohonan itu dengan alasan undang-undang baharu tidak boleh digunapakai terhadap urus niaga lama.

“Itu undang-undang di Singapura. Mahkamah perlu melaksanakan apa yang ditetapkan undang-undang,” katanya.

Beliau mengakui keputusan itu menyebabkan pelikuidasi mempunyai pilihan terhad dan sebarang jalan alternatif memerlukan lebih banyak masa serta kos.

Sebelum ini, pelikuidasi berhujah Perkara 21 dalam undang-undang itu sepatutnya membolehkan mereka menyaman atas transaksi lampau bagi memastikan pihak terbabit skandal 1MDB dipertanggungjawabkan. Tetapi, mahkamah berpihak kepada tafsiran bank terhadap Perkara 23(9).

Xu bagaimanapun menegaskan sebarang perubahan kepada undang-undang perlu dilakukan Parlimen, bukannya mahkamah.

Pelikuidasi masih boleh meneruskan prosiding di Singapura, walaupun kaedah itu tidak menawarkan kelebihan proses yang dipermudahkan seperti dalam proses rentas sempadan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×