PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat Proton melancarkan Hab Pengecasan DC pertamanya di Proton Tanjung Malim, Perak.
Hab tersebut dilengkapi dengan dua pengecas DC dan empat petak pengecasan dengan jumlah kuasa output stesen sebanyak 120 kilowatt (kW) membolehkan empat EV dicas serentak.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, berbeza dengan kemudahan terdahulu yang dikendalikan penyedia pihak ketiga, ini merupakan infrastruktur pengecasan pertama Proton yang diuruskan sepenuhnya oleh Pro-Net.
Katanya, langkah itu membuktikan keupayaan Proton untuk mengendalikan rangkaian pengecasannya sendiri, tanpa bergantung kepada pengendali titik pengecasan (CPO) sedia ada, sekali gus memastikan kawalan lebih baik terhadap aspek kemampuan, kebolehcapaian dan pengalaman pengguna.
“Hab pengecasan ini dibuka kepada semua pemilik kenderaan elektrik (EV) tanpa mengira jenama, selepas mendapat kelulusan Lesen ST EVCS.
“Dengan langkah inklusif ini, Pro-Net menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada kenderaan elektrik sambil memperkukuh pembangunan rangkaian pengecasan di seluruh Malaysia.
“Hab pengecasan ini merupakan satu langkah yang amat bermakna bagi kami, bukan hanya sebagai sebuah kemudahan, tetapi juga sebagai sebahagian daripada usaha kami membangunkan ekosistem EV yang lebih kukuh di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menjadikan pemilikan EV lebih menarik dan mudah diakses oleh semua dengan menawarkan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan serta mudah digunakan.
“Tanjung Malim ialah tempat bermulanya perjalanan Pro-Net, maka amatlah sesuai untuk kami memulakan bab baharu ini di sini,” ujarnya.
Pelancaran itu juga menandakan infrastruktur pengecasan kendiri pertama Pro-Net.
Ia memperkenalkan konsep pengecasan tanpa aplikasi, di mana pengguna hanya perlu mengimbas kod QR dan terus menggunakan paparan web untuk memulakan pengecasan serta membuat bayaran dengan mudah.
Dalam masa yang sama, pemilik Proton e.MAS dan smart masih boleh memilih untuk menggunakan aplikasi e.MAS dan Hello smart yang telah diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem itu.
Selaras dengan misi PRO-NET untuk menjadikan pemilikan EV lebih praktikal dan mampu milik, Proton menetapkan kadar pengecasan pada 80 sen setiap kWh, antara yang terendah di negara ini.
Dalam pada itu, sempena pelancaran itu, semua pengguna akan menikmati diskaun 50 peratus sepanjang bulan pertama operasi, menjadikan caj hanya 40 sen setiap kWh bermula 1 hingga 31 Oktober 2025. – UTUSAN










