Malucelli sekat hajat Kristoff lakar kemenangan ke-99

Malucelli sekat hajat Kristoff lakar kemenangan ke-99

Matteo Malucelli (dua dari kiri) melepasi garisan penamat untuk menjuarai peringkat ketiga diikuti Alexander Kristoff (tengah) dan tempat ketiga pelumba Uno-X Mobility, Eriend Blikra (dua dari kanan) pada pelumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 Gerik-Pasir Puteh, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli membuktikan ketahanan fizikal dan mentalnya apabila bangkit menundukkan cabaran laluan berprofil sukar sebelum bangkit merampas kemenangan dramatik pada peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, semalam.

Kayuhan sejauh 198.2 kilometer (km) Gerik-Pasir Puteh yang digarap tiga zon pendakian serta tiga zon pecutan menjadi pentas sempurna buat pelumba Itali itu menafikan impian pelumba pasukan Uno-X Mobility, Alexander Kristoff memburu kemenangan ke-99 dalam karier profesionalnya.

Catatan masa empat jam 28 minit 4 saat memastikan Malucelli mengekalkan status raja pecut edisi kali ini, sekali gus meneruskan kecemerlangannya selepas menjuarai peringkat pertama di Langkawi.

“Terus terang saya rasa sedikit bersalah kerana Kristoff sudah hampir dengan kejayaan ke-99, tetapi inilah lumrah perlumbaan.

“Apa yang penting, saya dan rakan sepasukan berjaya mengawal situasi,” katanya selepas perlumbaan.

Kejayaan Malucelli turut diserikan dengan kejayaan rakan sepasukan, Aaron Gate yang mengutip sembilan saat masa bonus untuk mengukuhkan strategi XDS Astana dalam perebutan jersi keseluruhan.

Sementara itu, Tsen Ren Bao (St. George Continental Cycling) mencuri tumpuan selaku pelumba tempatan terbaik apabila menamatkan saingan bersama kelompok utama meskipun dikerumuni nama-nama besar.

Selepas cabaran mendaki di Banjaran Titiwangsa, saingan keempat hari ini dari Kuala Terengganu ke Kemaman dijangka membuka ruang besar buat pakar pecut dengan laluan landai dan tiga zon pecutan di Marang, Dungun serta Paka, selain satu pendakian tunggal di Kijal.

Setakat ini, Malucelli masih kemas menggenggam jersi hijau (keseluruhan) dan oren (Raja Pecut), manakala jersi polka dot (Raja Bukit) dirampas Patrick Eddy dari Team Picnic-PostNL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×