KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja kontrak didenda sebanyak RM26,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah lebih RM365,000, awal tahun ini.
Di hadapan Hakim Azrul Darus, tertuduh Mah Wai Chun, 22, didakwa menolong menyembunyikan wang berjumlah RM225,500 milik seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas namanya di sebuah kondominium di Mont Kiara pada 7 Januari lalu.
Sementara itu, di hadapan Hakim Norma Ismail, tertuduh turut didakwa menolong menyembunyikan wang berjumlah RM140,000 milik seorang wanita yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas namanya di Bangsar Height Condo, Bukit Pantai, Bangsar, di antara 6 hingga 13 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua kesalahan itu dilakukan sehingga menimbulkan kepercayaan bahawa wang berkenaan adalah miliknya, sedangkan ia bukan hak tertuduh.
Bagi kedua-dua kesalahan, Wai Chun didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Azrul menjatuhkan hukuman denda RM14,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar, manakala Norma mengenakan denda RM12,000 atau penjara empat bulan jika denda gagal dibayar.
Terdahulu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan dan Batrisyia Mohd. Khusri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam, kekerapan kes seumpama itu serta sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Sementara itu, Wai Chun ketika merayu memohon hukuman lebih ringan dengan alasan bapanya masih bekerja, ibunya seorang suri rumah manakala dua adiknya masih bersekolah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu juga memaklumkan dirinya belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Mengikut fakta kes, salah seorang mangsa membuat laporan polis selepas ditipu dalam urusan pelaburan mata wang kripto, yang mana mangsa memasukkan wang ke dalam sebuah akaun bank dan hasil siasatan mendapati akaun berkenaan dimiliki oleh tertuduh. – UTUSAN










