Tingkat kelancaran laluan di plaza tol

Tingkat kelancaran laluan di plaza tol

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini ketika berada di Osaka, Jepun untuk melawat World Expo, saya berpeluang melihat sendiri bagaimana sistem tol di sana berfungsi dengan amat lancar. Kenderaan yang saya naiki memandu terus dengan kelajuan normal di plaza tol, sehingga saya dan keluarga menjerit menyuruh pemandu kenderaan kami untuk memperlahankan kenderaan.

Pemandu tersebut ketawa dan menerangkan bahawa kamera mengesan nombor plat secara automatik, bayaran ditolak melalui pilihan pembayaran yang ditetapkan oleh pengguna, dan palang dibuka dengan cepat. Tidak ada isu baki kad, tidak perlu membuka tingkap kenderaan, tidak perlu menggunakan peranti tambahan dan risau peranti tidak boleh diterima – semuanya mudah dan menjimatkan masa.

Inilah teknologi Pengesanan Nombor Plat Automatik (ANPR), dan saya amat bersyukur apabila mendapat tahu apabila membaca laporan akhbar, baru-baru ini bahawa sistem ini bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi.

Kerajaan telah pun memberi lampu hijau kepada pelaksanaannya, dan selepas fasa ujian rintis selesai di lebuhraya PLUS, ANPR akan diguna pakai di lebuh raya utama negara. Keterbukaan lerajaan dalam membawa pembaharuan teknologi kepada pengguna tol di lebuhraya tepat pada masanya dan menunjukkan kesungguhan melakukan reformasi sistem untuk memanfaatkan rakyat.

Sebenarnya, ANPR sudah pun digunakan di kebanyakan tempat letak kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Apa yang lebih penting, sistem ANPR untuk pengguna lebuhraya ini dikatakan akan menggabungkan semua jenis sistem pembayaran ke dalam satu aplikasi baharu iaitu JustGo. Walaupun belum dilancarkan, saya sendiri telah melihat kaunter JustGo di R&R Gurun dalam perjalanan pulang dari Kedah ke

Kuala Lumpur, di mana pengguna lebuhraya dibantu untuk memuat turun aplikasi JustGo dan membuat pendaftaran yang berpatutan.

Langkah ini adalah contoh jelas bagaimana pengendali lebuhraya mencari penyelesaian inovatif dan mesra rakyat untuk membantu mencari penyelesaian yang sesuai. Di negara lain, ANPR telah terbukti mengurangkan kesesakan, menjimatkan masa, dan memudahkan perjalanan harian. Bagi kita di Malaysia, setiap minit yang berjaya dijimatkan di jalan raya adalah satu kemenangan kecil untuk kualiti hidup – lebih masa bersama keluarga, lebih produktiviti, dan kurang tekanan di jalan. Mungkin ini juga dapat membantu pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhemah – seperti di Jepun.

Sememangnya, naik taraf seperti ANPR datang tepat pada masanya. Dengan trafik yang semakin sesak dan penggunaan pembayaran digital yang semakin meluas, rakyat berhak menikmati sistem tol yang lebih moden, inklusif dan mesra pengguna.

Kita rakyat Malaysia dan pengguna lebuhraya berhak mendapatkan layanan terbaik yang menggunakan teknologi terkini daripada pengendali tol. Saya percaya, ANPR akan membawa kita selangkah lebih dekat ke arah sistem yang lebih lancar, cekap, dan benar-benar memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya.

Inilah nikmat sebenar cogan kata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia Madani, Rakyat Disantuni. – UTUSAN

ALIF SHAMSUDDIN
Kajang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×