JOHOR BAHRU: Tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kerana didakwa telah menjejaskan imej parti.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, Lembaga Disiplin perlu mengambil langkah sewajarnya agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap kewibawaan parti terus terpelihara.
Katanya, Bersatu selaku organisasi politik berteraskan prinsip dan tataetika tidak boleh memandang ringan pelanggaran disiplin atau tingkah laku yang menjejaskan imej parti.
“Kami menegaskan bahawa segala permasalahan dan perbezaan pandangan dalam parti mesti diselesaikan secara berhemah melalui mesyuarat dan saluran rasmi parti.
“Membawa isu dalaman secara terbuka ke media hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 Ketua Bahagian Bersatu bukan bertujuan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Wan Saiful berkata, SD tersebut adalah bagi mencadangkan Muhyiddin mengatur pelan peralihan, sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka menolak kepimpinan Presiden
Dr. Sahruddin berkata, Bersatu perlu kekal sebagai wadah perjuangan yang matang, berdisiplin serta sentiasa mengutamakan kepentingan bersama, bukannya kepentingan peribadi.
“Bersatu Johor menyeru pimpinan dan ahli di semua peringkat agar kekal fokus kepada perjuangan parti, memelihara kesatuan dan tidak terjebak dengan tindakan yang boleh melemahkan kekuatan kita.
“Kami yakin dengan langkah-langkah tegas dan berani, parti ini akan terus dihormati dan diyakini oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN










